PETALING JAYA: Seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor ditahan polis
selepas didapati mengedar ganja dalam Operasi Khas Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik (BSJN) Brickfields semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, pihaknya turut menahan
remaja berusia 19 tahun di tepi jalan Kuchai Maju, yang membawa kepada
penangkapan pensyarah berusia 31 tahun itu, yang disyaki pembekal dadah.
Hasil siasatan, remaja tersebut mengaku mendapat bekalan dadah MDMA melalui
laman ‘dark web’ dan ganja diperolehi daripada seorang lelaki.
“Polis merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki ecstasy
seberat 16.65 gram.
“Siasatan lanjut kemudian menahan pensyarah berusia 31 tahun itu dan merampas
ganja seberat 1,380 gram, serbuk ecstasy (3.3 gram), 10 biji kapsul ecstasy
(3.17 gram) dan 19 keping dadah LSD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja dan
dia direman seminggu bermula hari ini.
Nilai rampasan dadah adalah RM7,480, selain sitaan wang tunai RM2,000 dengan
nilai keseluruhan rampasan RM9,480.
Katanya, suspek disyaki melakukan kegiatan pengedaran selama tujuh bulan dan
siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang terbabit
dan sumber bekalan diperolehi.
“Hasil tangkapan itu, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang
didalangi warga tempatan,” katanya.
Join our Telegram Channel