Polis mengakui ramai anggotanya yang ada kala keliru dengan prosedur operasi
standard (SOP) perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan ada yang
'tersalah' kena kompaun.
Mingguan Malaysia memetik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar sebagai berkata,
pihaknya sedang memperbaiki perkara ini dari semasa ke semasa.
“Kita tak nafikan kadang kala pemahaman setiap orang berlainan jadi memang
akan terbit masalah mengenai hal ini. Kita pun masih dalam proses untuk
memahamkan anggota dan pegawai kita mengenai undang-undang SOP dalam tempoh
PKP ini.
“Kalau dilihat dari segi komunikasi biasa pun, apabila kita sampaikan maklumat
kepada orang pertama nanti orang ke 10 akan dapat maklumat berbeza. Jadi, cuba
bayangkan penyaluran maklumat terhadap 100,000 pegawai dan anggota seluruh
negara, sudah tentu akan wujud masalah," katanya seperti dipetik.
Abd Rahim juga membangkitkan isu SOP yang sentiasa berubah yang menyukarkan
lagi perkara itu.
Sebelum ini, terdapat beberapa laporan berhubung warga yang menyuarakan rasa
tidak puas hati akibat dikenakan kompaun, antaranya ketika berseorangan di
taman awam atau menurunkan pelitup muka di kawasan pengangkutan awam.
Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata pihak berkuasa kini semakin memahami
situasi yang membolehkan mereka mengeluarkan kompaun sewajarnya.
"Dulu memang banyak (kesalahan kompaun tidak wajar) namun sekarang dapat lihat
sudah berkurangan.
"Sebagai contoh, ada yang keluarkan kompaun kerana individu ini berada di luar
lebih dari pukul 9 malam sedangkan tak ada dalam undang-undang yang melarang
perbuatan itu," katanya.
Katanya, mesyuarat mingguan yang diadakan juga membangkitkan pelbagai
penambahbaikan dalam soal penguatkuasaan.
Join our Telegram Channel