KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki menzahirkan rasa terkilan dengan sikap beberapa PPD di beberapa negeri
yang mengeluarkan pekeliling arahan untuk menghalang kerja amal bakti Skuad
Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO atas alasan tidak mahu pengaruh politik
masuk ke sekolah-sekolah.
Tegas Dr Asyraf, kehadiran Sukarelawan Pemuda UMNO hanya untuk membantu
menyahkuman bagi mencegah wabak virus Covid-19.
“Kami tidakpun mengadakan sebarang perjumpaan atau program politik dengan
pihak pelajar jika alasan kami ingin mempengaruhi mereka dengan ideologi
politik.
“Lebih pelik, bukankah UMNO juga sebahagian daripada yang mendokong Kerajaan
PN hari ini? Atau apakah kami dianggap parti penumpang sahaja dalam Kerajaan
hari kerana Menterinya merupakan Naib Presiden PPBM?” katanya dalam kenyataan
menerusi laman facebooknya, hari ini.
Apa-apapun, katanya, sikap segelintir pihak yang cuba menghalang dan
mencetuskan kecurigaan terhadap kerja amal sebegini tidak sedikitpun
menjejaskan semangat Pemuda-pemuda dan Sukarelawan Skuad Sabil untuk terus
mencurahkan khidmat bakti terutamanya demi keselamatan pelajar-pelajar
SPM/STPM yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
“Menjelang peperiksaan SPM/STPM, kami Pemuda UMNO amat memahami kebimbangan
dan keresahan rakyat di kalangan ibubapa mengenai tahap keselamatan dan
kebersihan sekolah-sekolah menengah yang bakal menjadi pusat peperiksaan di
seluruh Malaysia.”
Join our Telegram Channel