KUALA LUMPUR, 5 Feb – Oleh sebab prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH)
‘amat baik’, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) pun tumbangkan kerajaannya,
sinis Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Katanya lagi, kemudian Tun M pula mengeluarkan kenyataan bahawa prestasi
kerajaan PH amat baik dengan mengaku berjaya menangani krisis kewangan dan
hutang negara.
“Aduh… ini mesti kes Menteri Kewayangan dan Menteri Ekonomi PH memberi
laporan palsu dan cerita dongeng pada Tun M.
“Untuk maklumat Tun M, semasa pentadbiran PH yang ‘amat baik’ pasaran saham
Malaysia menjadi paling corot dalam dunia dikalahkan oleh Zimbabwe.
“Nisbah hutang negara naik dari 48.7% ke 54.4% setelah PH menambah hutang
negara sebanyak RM140 bilion.
“Defisit negara untuk dua tahun berturut-turut adalah lebih tinggi
berbanding masa BN (Barisan Nasional), pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam
Negara Kasar) negara tahun 2019 menjadi paling lemah sejak 10 tahun lalu
sebelum krisis COVID (COVID-19).
“Pelaburan langsung asing (FDI) jatuh ke paling lemah dalam rantau ASEAN,
negara mengalami aliran keluar dana asing sebanyak RM25 bilion pada tahun
2018 dan 2019 berbanding aliran masuk dana asing sebanyak RM11 bilion pada
tahun 2017,” bidas Najib yang juga Perdana Menteri Keenam dalam satu entri
di Facebook.
Begitu juga tambahnya hibah dan dividen-dividen tabung rakyat menjadi paling
rendah dalam sejarah untuk dua tahun tersebut.
“Aset bersih Khazanah Nasional jatuh dari RM116 bilion ke RM73 bilion
setelah PH menjual aset negara secara lambak.
Petronas diturunkan penarafan dua kali setelah PH jarah RM84 bilion dari
rizab tunai RM176 bilion ditinggal BN.
“Eksport negara semakin turun sehingga menjadi pertumbuhan negatif pada
tahun 2019 sebelum krisis COVID bermula, jurang pendapatan (Gini
coefficient) melebar semula iaitu buat kali pertama sejak tahun 2004,
hubungan antarabangsa Malaysia semakin tegang dan rakyat disuruh ikat perut
dan tidak iri hati orang kaya.
“Tang mana yang Tun M berjaya tangani krisis kewangan? Soalnya lagi.
Jelas Najib, negara tidak mengalami apa-apa krisis ekonomi sebelum Tun M
menjadi Perdana Menteri Ketujuh dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9%,
kenaikan eksport 18.9%, penurunan defisit kerajaan dan nisbah hutang negara
ke 2.9% dan 48.7% masing-masing, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) paling tinggi sejak 20 tahun lalu, pasaran saham Malaysia menjadi
pasaran saham paling lama menaik (world’s longest bull-run market) dalam
dunia sehingga mencapai tahap tertinggi 1,896 mata sebulan sebelum pilihan
raya umum ke-14 (PRU-14).
“Lepas Tun M jadi PM7, barulah ekonomi menjadi teruk.
“Melayu (dan Malaysians) tak mudah lupa,” tegasnya lagi.
Tun M, sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal berkata kerajaan PH
yang dipimpinnya mencapai prestasi yang amat baik termasuk menangani krisis
kewangan dan hutang negara. – UMNO ONLINE
Join our Telegram Channel