YANGON - Facebook pada Khamis menyatakan perkhidmatannya disekat di Myanmar
beberapa hari selepas pihak tentera melancarkan rampasan kuasa ke atas
kerajaan awam yang dipilih oleh rakyat.
"Kami menyedari bahawa akses ke Facebook kini terganggu untuk sebahagian
individu," kata seorang jurucakap laman sosial itu kepada AFP.
"Kami menggesa pihak berkuasa untuk memulihkan perhubungan itu bagi
membolehkan penduduk di Myanmar boleh berkomunikasi dengan keluarga dan rakan
mereka serta mendapatkan akses tentang maklumat penting," ujarnya.
Media sosial itu amat popular di negara tersebut dan ia merupakan salah satu
alat untuk berkomunikasi. Ia juga kerap kali digunakan oleh
kementerian-kementerian kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau perkhidmatan internet yang
terputus di seluruh dunia iaitu NetBlocks berkata, penyedia perkhidmatan di
Myanmar menyekat atau menghalang akses ke Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Instagram dan WhatsApp juga dimiliki oleh Facebook.
"Produk Facebook yang disediakan oleh pelbagai penyedia perkhidmatan internet
kini disekat di Myanmar ketika pihak pengendali (perkhidmatan itu) mematuhi
arahan sekatan," kata pertubuhan itu.
Pada Isnin lalu, tentera Myanmar menahan pemimpin Liga Kebangsaan Untuk
Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik kanan serta
bertindak melakukan rampasan kuasa berikutan dakwaan berlaku penipuan dalam
pilihan raya umum negara itu yang diadakan pada lewat tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel