PETALING JAYA: Tiga tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) cuba membatalkan
pendaftaran Umno, dengan membekukan akaunnya dan menyiasat pemimpinnya.
Namun pendaftaran parti yang ditubuhkan pada 1946 itu tidak dibatalkan kerana
beberapa pihak yakin ia akan termusnah dengan sendirinya selepas banyak Ahli
Parlimen Umno berhijrah ke PPBM bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.
Dua tahun berlalu dan Umno masih bertahan. Malah, parti itu menjadi sebahagian
daripada gabungan pemerintah dengan berganding bahu dengan PPBM dan PAS untuk
menggantikan PH, langkah yang menyaksikan beberapa pemimpin Umno menjadi
menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Namun, tempoh bulan madu Umno dan PPBM bawah pimpinan Muhyiddin Yassin
dikatakan telah berakhir dan mereka di ambang perpisahan pada September,
selepas hanya enam bulan memegang kuasa. Umno mengugut menarik balik sokongan
kepada Muhyiddin, yang dikatakan gagal berkongsi kuasa dengan mereka.
Kini, timbul lagi spekulasi Umno mungkin berdepan pembatalan pendaftaran
susulan laporan yang belum dapat disahkan mendakwa parti itu mempunyai akaun
bank rahsia yang menerima sumbangan sejak 1988.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, bertanya kepada PPBM sama ada
terdapat ancaman untuk membatalkan pendaftaran Umno, susulan pendedahan yang
menggemparkan itu.
“Mengapa ada beberapa pihak dalam PPBM yang cuba campur tangan dengan meminta
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menyiasat apa yang dikatakan akaun bank
rahsia yang tidak diaudit Umno?
“Biarkan JPPM menjalankan tugasnya. (Campur tangan) ini tidak mungkin berlaku
tanpa ada perancangan (daripada orang dalam PPBM),” katanya kepada FMT.
Menurutnya, akaun berkenaan dikatakan dibuka pada 1988, ketika Mahathir
menjadi presiden parti.
Razlan menggesa ahli Umno yang rapat dengan PPBM dan pemimpin parti itu untuk
melindungi Umno.
“Kami membantu PPBM untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan. Mereka harus
tahu perkara yang betul untuk dilakukan sekarang,” katanya.
Pelan alternatif Umno
Sumber Umno beritahu FMT mereka pernah mendengar rancangan untuk membatalkan
pendaftaran Umno sejak akhir 2020.
“Kami merasakan ada pihak dalam PPBM yang akan melakukan apa sahaja untuk
melemahkan kami,” katanya kepada FMT.
Namun, katanya, ahli parti tidak goyah dan sedang merumuskan pelan alternatif
untuk memastikan parti itu bertanding PRU-15.
“Kami harus bersedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya, dan memberi
amaran sebarang langkah untuk membatalkan pendaftaran Umno akan menikam diri
sendiri.
Langkah seperti itu mungkin sekali akan menggemparkan orang Melayu, yang akan
bersimpati dengan parti tradisional yang dianggap sebagai pembela Melayu luar
bandar, katanya.
“Umno ialah jenama. Nama itu dekat pada hati orang Melayu. Mereka tidak akan
membiarkan Umno layu dan mati begitu sahaja,” tambahnya.
Sumber itu berkata, sebarang langkah untuk menyekat Umno bakal mengundang
lebih banyak sokongan daripada orang Melayu kepada parti itu.
Tambahan, katanya, parti itu masih boleh bertanding bawah panji Barisan
Nasional, lambah yang lebih dikenali berbanding PPBM atau PN.
Join our Telegram Channel