PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau
dan beberapa Ahli Parlimen parti itu mendapat peruntukan bagi kawasan
masing-masing sama seperti wakil rakyat pembangkang.
Presiden Umno itu berkata, kawasan Parlimennya hanya mendapat RM100,000
setahun untuk 2021, berbeza dengan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan
Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.
Beliau mendakwa Ahli Parlimen Umno lain yang senasib dengannya ialah Ahmad
Maslan (Pontian), Najib Razak (Pekan), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad
Jazlan Yaakub (Machang).
“Alhamdulillah dapat RM100,000, cukuplah untuk bahagian Bagan Datuk, bahagian
paling mundur di Perak.
“Saya ucap terima kasih untuk peruntukan diberikan.”
“Mudah-mudah terbuka hati sesiapa buat keputusan itu untuk memberikan
peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen telah undi supaya Belanjawan
2021 yang kami sokong tiga kali di peringkat dasar, jawatankuasa dan bacaan
kali ketiga.
“Sokong, tetapi hadiah kami dapat peruntukan RM100,000 setahun,” katanya
secara sinis dalam temubual disiarkan secara langsung di Facebook.
(Lihat video di bawah, minit 1:30).
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, parti itu akan mengadakan dua kali
perhimpunan agung tahun ini.
“Tahun ini adalah tahun pemilihan, tetapi oleh kerana tahun lalu tiada
perhimpunan agung Umno, kita akan ada dua kali perhimpunan agung tahun ini.
“Satu perhimpunan agung tahunan biasa dan satu (lagi) perhimpunan agung
tahunan, tetapi ada pemilihan.”
Pada 31 Jan lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memberi bayangan
perhimpunan agung parti itu akan diadakan secara maya, jika perintah kawalan
pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.
Ahmad yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) bagaimanapun berkata,
tarikh perhimpunan agung itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan
akibat Covid-19, malah Zahid dikatakan bersetuju pemilihan parti diteruskan di
semua peringkat seperti dijadualkan pada tarikh bersesuaian tahun ini.
Sementara itu, Zahid berkata, beliau terbuka jika ada ahli yang mahu
mencabarnya untuk jawatan presiden.
“Kali ini kalau tujuh orang nak tanding, eloklah meriah.
Join our Telegram Channel