PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
adalah antara menteri Kabinet yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk
menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena
Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, selain Zuraida, Menteri Kanan
(Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin turut menerima darjah kebesaran sama, iaitu
darjah kebesaran pangkat ketiga, Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran
Datuk.
Manakala itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pula dianugerahkan Darjah
Kebesaran Pangkat Pertama, iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah, yang membawa
gelaran Datuk Seri Utama bersama-sama dengan lima penerima lain, antaranya
Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan isteri Yang di-Pertua Negeri
Sarawak Ragard Kurdi Taib.
Bagi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua, iaitu Seri Mahkota Wilayah yang membawa
gelaran Datuk Seri, antara anggota Kabinet yang menjadi penerimanya adalah
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.
Selain itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dr R Santhara Kumar, yang
juga anggota Pusat Pengurusan Krisis Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah
Persekutuan pula dianugerahi Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah atas
sumbangannya memainkan peranan penting dalam memerangi wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran,
Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan mengambil
kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada
penerima,” katanya.
Jumlah keseluruhan penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah
Persekutuan adalah seramai 335 orang, dengan 6 individu dianugerahi Darjah
Kebesaran Pangkat Pertama, 24 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat
Kedua, 81 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga.
“Seterusnya, 49 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat, 76
individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima, 31 individu dianugerahi
Darjah Kebesaran Pangkat Keenam dan 68 individu dianugerahi Darjah Kebesaran
Pangkat Ketujuh,” katanya. – FMT
Join our Telegram Channel