JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan
mengurniakan kenderaan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai menghargai
perkhidmatan dalam pasukan perubatan baginda.
Salah seorang daripada penerima kurniaan Sultan Ibrahim itu ialah Dr. Jaidon
Romli daripada Pejabat Kesihatan Johor Bahru yang sedang berkhidmat di Klinik
Kesihatan Tampoi, di sini.
Dr. Jaidon yang bertugas di dalam pasukan perubatan Sultan Johor sejak 2010
menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kurniaan kereta
tersebut.
“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas
kurniaan kereta ini. Patik mendoakan semoga Baginda Tuanku Sultan serta
Kerabat diraja sentiasa sihat sejahtera” katanya kepada Royal Press Office
(RPO).
Turut menerima kurniaan Sultan Ibrahim itu ialah Pegawai Perubatan Jabatan
Perubatan Am, Dr. Azizan Sharif dan Pegawai Perubatan Jabatan Ortopedik, Dr.
Hishamudin Salam yang bertugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Join our Telegram Channel