BENTONG – Hanya kerana ditegur kerana asyik bermain permainan video dan
telefon bimbit dirampas bapanya, seorang gadis bertindak di luar kewarasan
apabila cuba membunuh diri dengan terjun dari jejambat Bukit Tinggi di
Kilometer 46 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam kejadian
kira-kira pukul 2.12 petang itu seorang gadis berusia 16 tahun didapati cuba
meniti di tepi jejambat berkenaan dalam keadaan berbahaya.
“Pihak polis beberapa kali cuba memujuk perempuan tersebut supaya bertenang
sehinggalah perempuan itu didapati dalam keadaan tidak stabil ketika berada di
atas jejambat berkenaan.
“Pihak polis terus memujuknya dan pada ketika itulah Ketua Polis Balai Bukit
Tinggi berlari ke arah mangsa dan terus menariknya kebelakang, pada masa yang
sama dibantu oleh anggota polis lain untuk menyelamatkan mangsa,”katanya di
sini, hari ini.
Tambahnya, semasa kejadian pihak polis telah menghubungi bomba untuk
memberikan bantuan di lokasi dan pihak bomba bersedia dengan peralatan
‘salvage sheet’ di bawah jejambat.
Menurut Zaiham mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong bagi mendapatkan
rawatan dan masih mengalami kemurungan.
Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan
dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau
kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
Join our Telegram Channel