Rundingan kerusi dalam PH sudah bermula, tak tolak kerjasama Umno
PH telah memulakan proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRU akan datang,
kata pengerusinya Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, PH turut mengambil kira kerusi untuk parti-parti sekutu lain.
"Majlis Presiden PH telah putuskan beberapa perkara, termasuk kerjasama
jentera pilihan raya dan untuk memulakan rundingan kerusi melibatkan parti
komponen PH terutamanya, dan juga mengambil kira peruntukan untuk parti rakan
yang lain.
"Tetapi pada tahap ini, kita akan lantik seorang jurucakap," katanya ketika
sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Sidang media diadakan sempena pelancaran inisiatif baru PKR bagi membantu
wanita yang berdepan masalah, sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata rundingan kerusi
antara parti komponen PH telah mencapai "peringkat selanjutnya" (advanced
stage).
Pada tahap ini, mereka memberi tumpuan kepada parti dalam PH sebelum
mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain, katanya lagi.
Kedua-duanya juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam PRU
akan datang.
Ia susulan keputusan Umno minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan
Bersatu pada PRU akan datang.
"Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tak berbangkit setakat ini, walaupun
kita jelas...kita dukung siapa saja yang boleh terima yang kita (PH) dukung
tadbir urus yang baik, tolak rasuah, tolak segala bentuk penyelewengan dan
salah guna kuasa dan jaga (hak) orang Melayu, Bumiputera dan semua kaum," kata
Anwar.
Fahmi ketika ditanya media pagi ini pula berkata, kerjasama seumpama itu tidak
mustahil dan pernah dilakukan PKR sebelum ini.
"Saya rasa itu bukan perkara mustahil, tapi garis panduan yang diberikan,
contohnya oleh Anwar, sangat jelas.
"Kita ada prinsip dan pegangan dan tidak akan melanggarnya. Kita boleh
kerjasama dengan semua pihak.
"Malah sebelum ini kita kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad, dan (kerjasama
seumpama itu) perlu berlandaskan prinsip dan pegangan," katanya lagi.
Malaysiakini turut bertanya berkenaan insiden mutakhir ini, berkenaan
persamaan dalam kenyataan media yang dikeluarkan PH dan BN.
Berikut adalah jawapan Fahmi: "Saya tak nafikan ramai berasa gusar melihat ada
perenggan yang serupa, dan orang yang paling gusar sekarang ini adalah Annuar
Musa.
"Dia yang paling terkesan sebab saya rasa dia mungkin risau hilang jawatan,"
katanya. – Mkini
Lim: Tiada kerjasama DAP, Umno pada PRU15
Tidak akan ada kerjasama politik antara DAP dan Umno pada Pilihan Raya Umum
ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.
Lim dipetik Bernama berkata pendirian parti itu konsisten tetapi menjelaskan
DAP hanya bersedia bekerjasama dengan Umno apabila ia akan memberi manfaat
kepada rakyat.
“Selagi ia untuk kebaikan rakyat, kita sanggup memberi sokongan...atas
tujuan tertentu berhubung isu berkaitan kepentingan dan manfaat
rakyat.
"Tiada kerjasama atas dasar kepentingan parti dengan Umno," katanya hari
ini.
Kata Lim, tindakan mengambil pendekatan untuk tujuan tertentu tidak bermakna
bekerjasama dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama demi kepentingan rakyat
seperti menggesa mengadakan sidang parlimen.
Dia menjelaskan semasa persidangan parlimen yang lalu, DAP juga tidak
menentang usul daripada PAS mengenai langkah Covid-19.
Sementara itu, Lim yang juga ahli parlimen Bagan turut dilaporkan berkata
DAP tidak akan menyokong amalan melompat parti, sesuai dengan prinsip urus
tadbir baik bersih walaupun tidak bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan.
Terdahulu Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi
Fadzil menyatakan tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno dalam
PRU akan datang.
Ini susulan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada minggu lalu mengutus surat
kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memaklumkan Umno tidak meneruskan
kerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel