Hanya 19 peratus responden dalam tinjauan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang
berpendapat bahawa Muhyiddin Yassin sepatutnya kekal sebagai perdana menteri
sehingga tempoh Parlimen berakhir.
Hampir separuh (46 peratus) responden berkata Muhyiddin harus mengundurkan
diri kerana dia tidak lagi menikmati sokongan majoriti sementara 29 peratus
pula berkata, pilihan raya umum baru harus diadakan segera.
Dua peratus lagi berkata, bahawa Muhyiddin perlu meneruskan perisytiharaan
darurat untuk terus berkuasa.
Dapatan tinjauan itu dinyatakan dalam laporan "Mood Rakyat Malaysia Siri 1"
IDE yang diterbitkan hari ini.
IDE mendakwa bahawa tinjauan dijalankan dalam talian antara 19 Februari dan 28
Februari, bertepatan dengan ulang tahun pertama “Langkah Sheraton" yang
menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Ketika dihubungi, pengurus kanan bahagian penyelidikan IDE, Khairul Arifin
Mohd Munir berkata, 8,352 sampel berkenaan diperoleh secara dalam talian
melalui kaedah pensampelan pelbagai peringkat.
Tahap pertama persampelan bertujuan untuk memastikan bahawa responden mampu
menjawab soalan diikuti dengan pensampelan berstrata rawak dan akhirnya
persampelan kuota untuk mewakili setiap wilayah dan subkelompok.
Dalam perbincangan secara maya, dapatan tinjauan berkenaan, Khairul Arifin
berkata, perincian persampelan akan didedahkan pada kemudian hari oleh Ketua
Pegawai Eksekutif IDE, Mohammad Redzuan Othman.
Institut Darul Ehsan adalah badan pemikir yang dibiayai oleh kerajaan negeri
Selangor yang ditubuhkan pada tahun 2015.
Tinjauan itu mendapati bahawa semua kumpulan etnik utama menyokong supaya
Muhyiddin mengundurkan diri, walaupun kaum Cina lebih cenderung memilih supaya
pilihan raya baru diadakan. (21 peratus).
Join our Telegram Channel