ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan, antaranya
menumpukan kepada ancaman siber dalam memastikan data rahsia kerajaan berada
dalam keadaan selamat, susulan kenyataan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di
Malaysia Kim Yu-Song baru-baru ini.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, negara kini bukan
sahaja berhadapan dengan ancaman fizikal tetapi juga ancaman siber, namun
perkara tersebut masih terkawal.
“Pertama sekali ATM akan memastikan negara berada dalam keadaan selamat, kita
juga meningkatkan kesiapsiagaan dalam perkembangan siber,” katanya selepas
menyempurnakan majlis perasmian Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao ke-16
(TPA-M16) di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya lagi, ancaman siber menjadi antara tumpuan utama pasukannya, kerana
sudah menjadi rutin kehidupan masyarakat masa kini banyak bergantung kepada
teknologi siber dalam urusan harian, seperti membeli barang atau pembayaran
secara dalam talian dan sebagainya.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan yang diberikan Kim pada Ahad lepas,
yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan mengenakan
pendakwaan terhadap rakyatnya.
Ahad lepas, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan
mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan
Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.
Pada Jumaat,
Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan
Malaysia, apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli
perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk
menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
Pada hari sama, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia kesal dengan
keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup
kedutaan negara berkenaan di sini yang operasinya sudah digantung sejak 2017.
Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta
mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017,
apabila Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di
Malaysia.
Terdahulu, Affendi menyempurnakan majlis perasmian Tim Pemantau
Antarabangsa-Mindanao ke-16 (TPA-M16) yang akan berlepas ke Mindanao, Filipina
pada Jumaat ini (26 Mac).
Pasukan TPA M-16 yang diketuai Timbalan Ketua Misi Mejar Jen Datuk Hamdan
Ismail bersama 16 pegawai dan anggota daripada ATM, Polis Diraja Malaysia dan
penjawat awam, menggantikan TPA M-15 yang dijadual tiba di tanah air pada 10
April.
Join our Telegram Channel