KUALA LUMPUR: Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara memutuskan
hubungan diplomatik, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan tidak wajar, tidak membina
dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa,” katanya
dalam kenyataan.
Malaysia kini terpaksa akur dengan keputusan Korea Utara menutup Kedutaan
Malaysia di Pyongyang, yang operasinya ditangguhkan sejak 2017.
Wisma Putra berkata, kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan
diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur
meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.
Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan
hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah awal bulan ini
memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika
Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram.
Keputusan sepihak Korea Utara jelas suatu yang tidak perlu, tidak wajar dan
pastinya merosakkan usaha ke arah pemupukan keamanan, kestabilan dan
kemakmuran rantau ini, menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Malaysia berhak untuk bertindak terhadap keputusan Korea
Utara itu demi melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara.
“Malaysia percaya pendirian kita terhadap perkembangan kurang menyenangkan ini
akan dapat dihargai dan difahami sepenuhnya oleh negara sahabat dan rakan yang
berpegang teguh pada prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan
keharmonian bersama antara negara,” katanya.
Mengenai ahli perniagaan Korea Utara Mun Chol Myong, Wisma Putra menjelaskan
sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan, kedaulatan
undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, Malaysia telah memastikan
ekstradisi dilakukan sesuai dengan prinsip-prinsip itu.
Atas prinsip sama, kenyataan itu menyatakan Malaysia mengetepikan siri desakan
Korea Utara yang menuntut pihak Eksekutif Malaysia supaya campur tangan
terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara ini.
“Ekstradisi ini hanya berlaku selepas semua proses perundangan dilaksanakan,”
menurut kenyataan itu.
Hak Mun ketika dalam tahanan dijamin dan dipenuhi, termasuk akses kepada
peguam bela serta bantuan konsulat dan keluarganya dibenarkan melawat.
Mun ditahan pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 berdasarkan waran tangkap
sementara dikeluarkan di bawah Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 atas
tuduhan konspirasi pengubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu.
![]() |
Mun Chol Myong (kiri). |
“Tindakan sedemikian turut menjadi kesalahan menurut undang-undang Malaysia.
Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019, dan
mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya,” tambah kenyataan itu.
Permohonan untuk writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada 12 Dis, 2019 dan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 8 Okt, 2020 ditolak,
kerana mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya tidak berasas serta gagal
memenuhi syarat di bawah Akta Ekstradisi.
Sementara itu, Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein dalam akaun Twitternya
pada Jumaat berkata semua kakitangan diplomatik Malaysia dan tanggungan mereka
di Kedutaan Malaysia di Pyongyang telah pulang ke tanah air pada 2017, selepas
operasi kedutaan ditangguhkan.
Join our Telegram Channel