PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan propaganda
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) semakin “kreatif dan rancak” namun
mengarut.
Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Najib berkata propaganda JKOM ketika
ini amat mudah dengan menyatakan Umno dipengaruhi kluster mahkamah seperti
Ahmad Zahid Hamidi dan beliau semakin terdesak untuk menolak “penyatuan Ummah”
dengan PPBM pada PRU15, untuk bekerjasama dengan PKR/DAP supaya boleh
melepaskan diri daripada kes rasuah.
Bagaimanapun, katanya propaganda itu mengarut, kerana yang tidak menyokong
kerjasama dengan PPBM pada PRU15 bukan saja mereka yang ada kes mahkamah, tapi
termasuk Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan
Presiden Umno Mohamad Hasan, ketua Pemuda Umno serta hampir semua bahagian
parti itu.
“Untuk melepaskan diri dari kes-kes mahkamah, cara terbaik adalah untuk ampu
kerajaan PN – bukan lawan kerajaan PN.
“Jika tak percaya, sila tanya Ahli Parlimen PKR yang lompat ke PN beberapa
hari lalu, tanya menteri kanan paling kanan yang kesnya tak HD, tanya Zahid
Mat Arip yang sendiri mengaku dalam mahkamah telah terima duit rasuah dan
tanya Tok Mat serta Mas Ermieyati yang juga menerima dana dari saya sebelum
PRU14,” katanya.
Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sudah membuat keputusan untuk
tidak bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP untuk PRU15 dan pendirian itu
akan diulang pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), akhir bulan ini.
Katanya, jika mahu bekerjasama dengan DAP atau PKR sekalipun, ia memerlukan
persetujuan bahagian Umno dan akar umbi.
“Dari dulu-dulu lagi dari masa kerajaan PH jatuh dan kerajaan PN ditubuhkan,
Umno dan BN telah menyatakan pendirian bahawa kita hanya akan sokong kerajaan
PN sehingga PRU15.
“Umno tak pernah bersetuju untuk menyertai PN. Kami hanya bersetuju dengan
Muafakat Nasional sahaja,'”katanya,
Beliau secara peribadi juga tidak pernah meminta supaya kesnya digugurkan
begitu sahaja seperti kes Lim Guan Eng.
“Saya akan dinafikan peluang untuk membersihkan nama saya dengan sepenuhnya
dan akan perlu menghadapi propaganda pihak lawan ini buat selama-lamanya,”
katanya.
Join our Telegram Channel