SEBERANG PERAI – Satu video yang memaparkan seorang lelaki membalas pertanyaan
polis sambil melemparkan kata-kata kesat yang tular di media sosial hari ini
dilaporkan berlaku di sekatan jalan raya (SJR) di Nibong Tebal baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern
berkata, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap suspek pada 18 Februari
lalu sebelum video berkenaan tular.
Menurutnya, ketika kejadian, anggota dari Balai Polis Nibong Tebal telah
menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dipandu seorang lelaki berusia
28 tahun yang mahu merentas negeri kira-kira pukul 5 petang.
“Selepas pemeriksaan, dia tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri
semasa melalui SJR.
“Lelaki itu didapati bergerak dari Butterworth (daerah Seberang Perai Utara)
hendak ke Bagan Serai, Perak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, ketika diminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu,
lelaki berkenaan telah membaling kad-kad tersebut ke arah anggota polis yang
bertugas.
“Disebabkan itu, anggota terus menahannya kerana bertindak kasar, tidak
memberi kerjasama dan menghalang petugas menjalankan tugas SJR.
“Semasa proses tangkapan hendak dilaksanakan, dia telah mengeluarkan perkataan
kasat kepada anggota polis dan ditahan selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Chong Chern berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan
mempunyai rekod rawatan (sakit) mental di Hospital Taiping, Perak sehingga
kini.
Please subscribe
Join our Telegram Channel