Polis telah menahan seorang pesakit mental dipercayai individu yang melakukan
perbuatan tidak senonoh dan lucah dalam keadaan separuh bogel di sebuah kedai
menjual telefon bimbit di Jalan Pintu Pong, di Kota Bharu, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris
berkata tangkapan terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dilakukan di tempat
kejadian selepas pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang
merupakan jurujual di kedai berkenaan.
"Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, semasa pengadu bersama dua rakan
sekerja berada di kedai tersebut didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali
dengan memakai t-shirt berwarna merah dan tidak berseluar serta cuba memegang
pengadu.
"Susulan itu, pengadu bersama rakan sekerja keluar dari kedai dan terus
menghubungi pihak polis. Pengadu dan dua rakan sekerjanya tidak mengalami
sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Khairuddin berkata suspek yang tinggal tidak jauh dari
lokasi kejadian mengalami masalah mental serta kemurungan sejak awal tahun
ini.
"Lelaki terlibat juga dikatakan baru seminggu dibenarkan pulang ke rumah dari
pusat rawatan," katanya sambil menambah suspek telah dibawa ke Hospital Raja
Perempuan Zainab II di situ untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Dia berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana
perbuatan mengaibkan penghormatan.
Please subscribe
Join our Telegram Channel