MELAKA - Kerajaan negeri menguatkuasakan perintah larangan pembakaran terbuka
sejak 22 Februari lalu berikutan cuaca panas dan kurang taburan hujan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul
Ghafaar Atan berkata, mereka yang didapati melakukan kesalahan pembakaran
terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima
tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menerima 104 aduan
kes pembakaran terbuka, sekali gus menunjukkan trend amat membimbangkan.
Katanya, selaras pengisytiharan larangan pembakaran terbuka, semua pihak
dilarang sama sekali melakukan aktiviti itu atau membiarkan tanah dan premis
mereka diceroboh pihak yang sengaja melakukan pembakaran terbuka.
"Kita juga meminta pemilik ladang berskala besar dan melakukan penanaman
semula untuk menghentikan pembakaran kerana jika tidak dikawal, pembakaran
boleh merebak dengan cepat, " katanya pada sidang akhbar di Menara
Persekutuan, MiTC, Ayer Keroh pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah JAS negeri, Rosli Osman.
Jelas beliau, sehingga kini JAS mengesan tiga lokasi titik panas yang boleh
menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka membabitkan kawasan Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI) Kuala Linggi, Alor Gajah yang 31 hari tanpa hujan, Devon Estate di
Jasin,17 hari tanpa hujan dan di Melaka Tengah membabitkan Stesen Meteorologi
Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka(LTAM) yang tidak hujan selama 18 hari.
Join our Telegram Channel