Jika sebelum ini tular isu pekedai dikompaun gara-gara membuka pelitup muka
sewaktu sedang minum air ketika ketiadaan pelanggan, kini isu melibatkan
kompaun sekali lagi berulang di Melaka.
Berlaku di sebuah kedai runcit di Batu Berendam, Melaka seorang remaja berusia
17 tahun telah dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mengimbas kod
QR melalui aplikasi MySejahtera.
Lebih menyayat hati, beliau yang pada ketika itu dalam keadaan terburu-buru ke
kedai runcit berdekatan rumahnya untuk mendapatkan ubat paracetamol buat
ibunya telah ditahan oleh pihak polis yang berpakaian biasa dan dikenakan
kompaun tanpa berpeluang menjelaskan situasi yang berlaku.
Tambah pelajar ini lagi, beliau turut mempunyai adik yang masih bersekolah
serta gaji bapanya yang tidak banyak serta ibunya yang cuma suri rumah mungkin
menyukarkan keluarganya untuk membayar kompaun yang dikenakan.
Walau bagaimanapun, beliau akui faham dengan tugas pihak polis yang sekadar
menjalankan tugas serta akan berusaha untuk memohon untuk mengurangkan kadar
kompaun bagi meringankan beban ibu bapanya.
Isu yang tular ini turut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Melaka Tengah,
Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang memaklumkan pelajar berkenaan
berpeluang mengurangkan kadar kompaun menerusi rayuan pada pegawai kesihatan
Melaka Tengah yang bertanggungjawab.
Join our Telegram Channel