ISKANDAR PUTERI – Gara-gara berang dengan tindakan isteri tidak balik rumah,
seorang lelaki bertindak membakar kereta Proton Saga milik saudaranya dalam
kejadian di Jalan Indah 4/1, Taman Bukit Indah di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, kereta Proton Saga itu mengalami
kerosakan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
berkata, sebelum kejadian, pasangan suami isteri itu dikatakan mengalami
perselisihan faham sebelum wanita itu lari ke rumah saudaranya yang juga
terletak di taman berkenaan.
“Ketika kejadian pengadu (saudara) terdengar bunyi amaran kereta sebelum
keluar rumah dan mendapati kereta miliknya terbakar dan pengadu cuba memadam
api kebakaran terbabit.
“Pada masa yang sama, pengadu menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan
bantuan berhubung kejadian itu,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, susulan maklumat diperolehi sepasukan anggota polis
menjejaki suspek dan berjaya menahannya di Jalan Indah 5/5, Taman Bukit Indah
di sini.
Lokasi kejadian dan rumah kediaman pasangan itu terletak kira-kira satu
kilometer.
Menurut beliau, siasatan awal ke atas suspek yang berusia 47 tahun dan tidak
bekerja itu mengaku melakukan perbuatan khianat terbabit.
Katanya, lelaki itu bertindak setelah tidak berpuas hati dengan isterinya yang
tidak balik rumah sejak 1 Mac lalu akibat perselisihan faham dalam rumah
tangga.
Siasatan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit
kes rompakan bersenjata selain saringan air kencing ke atasnya adalah negatif.
Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – Kosmo
Join our Telegram Channel