JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan
sindiket dadah berikutan menjual semula dadah yang dirampas kepada sindiket
berkenaan, malam Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pegawai polis
berpangkat Inspektor yang berusia 31 tahun itu ditahan jam 7 malam di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ketika hadir bagi memberi keterangan.
Rampasan dadah yang dijual semula kepada sindiket berkenaan dipercayai untuk
pasaran negara jiran.
"Siasatan lanjut mendedahkan suspek itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), menjual semula dadah yang dirampas polis
kepada sindiket dadah bagi tujuan peribadi.
"Dalam kes ini, polis menyita sebuah kereta Perodua Alza dan wang tunai
RM1,200. Suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah
Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, dengan suspek akan ditahan di Pusat
Pemulihan Akhlak (PPA) selama dua tahun dan perintah sekatan," katanya dalam
sidang media hari ini.
Ayob berkata, pihaknya masih menyiasat jumlah dan nilai dadah yang dijual
semula pegawai berkenaan.
Dalam kes berasingan, Ayob Khan berkata, dua anggota polis ditahan Jabatan
Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah
Daerah Muar, kerana melakukan pemerasan, Khamis lalu.
Dua suspek itu masing-masing berpangkat Sub Inspektor dan Koperal dari IPD
Muar dan berusia 59 dan 35 tahun.
"Siasatan mendapati kedua-dua suspek melakukan pemerasan ke atas seorang
individu di Parit Jawa yang ditahan mereka kerana memiliki dadah jenis syabu.
"Pemerasan itu dibuat bagi melindungi kegiatan dadah individu yang ditahan
dengan kedua-dua suspek meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang
perlindungan.
"Hasil siasatan mendapati suspek sudah menerima wang sebanyak RM2,000 dan
tambahan RM800 secara tunai," katanya.
Join our Telegram Channel