Umno Perlis akan terus setia bersama dengan pusat dan tidak pernah bercadang
untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat, kata pengerusinya Datuk
Seri Shahidan Kassim.
Katanya beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti malah
mempunyai hubungan akrab dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
dan akan terus setia bersama dengan Umno pusat.
“Kami (Umno Perlis) akan terus berpegang dengan keputusan Majlis Tertinggi
Umno sebelum ini iaitu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya kepada pemberita di
sini malam tadi.
Semalam, media melaporkan Umno Perlis akan memutuskan hubungan dengan
kepimpinan pusat sekiranya mereka kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama
dengan Bersatu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang dijadualkan akhir
bulan ini.
Sementara itu, Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, berkata Umno Perlis
terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan melanggar
perjanjian yang dibuat oleh Umno ketika penubuhan kerajaan PN dahulu.
“Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin...saya juga berkerjasama dengan PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak
(GPS) kerana saya adalah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional
(PNBBC),” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel