COLOMBO, Sri Lanka – Kerajaan Sri Lanka akan mengharamkan pemakaian burka dan
bakal menutup lebih 1,000 madrasah Islamik sebagai langkah keselamatan negara,
menurut seorang menteri semalam.
Menteri Keselamatan Umum, Sarath Weerasekera berkata, dia telah menurunkan
tandatangan kelmarin bagi kelulusan Kabinet untuk melarang penggunaan penutup
wajah yang dipakai segelintir wanita Muslim tersebut, lapor akhbar The Sun,
semalam.
“Burka mempunyai kesan langsung terhadap keselamatan negara. Pada awalnya,
wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim di negara ini tidak memakainya.
“Ia merupakan tanda ektrimisme agama yang baharu muncul baru-baru ini. Sudah
tentu kami akan melarang perbuatan ini,” katanya.
Pemakaian burka di negara majoriti Buddha itu dilarang seketika pada 2019
selepas berlakunya pengeboman gereja dan hotel-hotel yang menyebabkan lebih
250 kematian.
Dua kumpulan pengganas yang menyatakan kesetiaan kepada militan Daesh
dipercayai menjalankan serangan tersebut.
Weerasekera berkata, kerajaan juga merancang melarang pembukaan lebih 1,000
madrasah Islamik yang dikatakan menghina polisi pendidikan kebangsaan.
“Tiada sesiapa pun boleh membuka sekolah dan mengajar apa yang mereka mahukan
kepada kanak-kanak,” katanya.
Join our Telegram Channel