Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah melarang pengunaan
kalimah Allah dalam kitab Bible terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan
apa-apa buku dan tulisan agama Kristian
Baginda bertitah, ia bagi memelihara kalimah suci umat Islam itu yang mana
kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa
yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.
"Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan
Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama
Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah
tetap dilarang sama sekali penggunaannya di negeri Selangor.
"Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci
umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan yang maha esa
yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.
"Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau
digunakan selain daripada maksud Tuhan yang maha esa yang menjadi asas
pegangan akidah umat Islam. Namun demikian sekiranya perkataan “Tuhan”
digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta tiada halangan atas
penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut," titah baginda dalam satu kenyataan
hari ini.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan
telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah
"Allah" pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa
Melanau berhak menggunakan kalimah "Allah" untuk tujuan keagamaan dan
pendidikan.
Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland
dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.
Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar
Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', telah
dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah
(LCCT) di Sepang.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh Kementerian Dalam Negeri
pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan "Allah,
Baitullah, Kaabah dan solat" menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
"Penggunaan perkataan itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam," katanya.
Nor Bee berkata perkataan itu juga boleh digunakan oleh masyarakat untuk
tujuan pengajaran kerana telah digunakan lebih 400 tahun.
Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan mengenai hak
menggunakan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke
peringkat Mahkamah Rayuan.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan ia juga adalah selaras dengan
keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop
of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang
diwartakan di negeri Selangor pada 18 Februari 2010 yang menyatakan bahawa
kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan Tuhan bagi
agama-agama bukan Islam yang lain.
"Adalah menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah
Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap
kalimah Allah tersebut.
"Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam
terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah
pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan beragama Islam di negeri
Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah
sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan
Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai
1988," katanya.
Join our Telegram Channel