PARIT BUNTAR – Polis mengesahkan pihaknya mengeluarkan satu kompaun RM10,000
kepada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya
bertindak mengeluarkan surat kompaun tersebut memandangkan lelaki berkenaan
melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) di Tanjung Piandang kelmarin.
“Kompaun tersebut dikeluarkan Pasukan Pematuhan SOP PKPB yang membuat tugasan
rondaan di kawasan tersebut.
“Lelaki tersebut didapati melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka
dengan sempurna apabila hanya meletakkannya di dagu ketika masuk dan keluar
kedai berkenaan pada pukul 1.20 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari
ini.
Tambah Mazuki, pasukan pematuhan tersebut telah melakukan pemerhatian
sewajarnya sebelum mengeluarkan notis kompaun berkenaan.
“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 21A(1) Ordinan Darurat
(Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, ia menyatakan
mana-mana individu yang melanggar SOP sewaktu tempoh pelaksanaan darurat boleh
dikompaun sebanyak RM10,000 berkuat kuasa sejak 11 Mac.
“Polis hanya menjalankan tugasan mereka dalam penguatkuasaan SOP sebagaimana
yang telah diperintahkan kepadanya mengikut peruntukkan bidang kuasa yang
telah diwartakan,” katanya.
Menurut Mazuki, adalah tidak adil jika ada segelintir pihak mengecam dan
mempertikaikan tindakan anggota polis yang menjalankan tugas dalam
menguatkuasakan undang-undang tersebut.
“Pihak polis telah diberi kuasa dan kami hanya menjalankan tugas-tugas kami
sebagaimana yang telah diarah dan diperintahkan kepada kami.
“Dalam notis itu, lelaki itu diberi tempoh tawaran sehingga 1 April ini untuk
ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan berjumpa dengan pegawai diberi kuasa
untuk membuat rayuan,” katanya.
Join our Telegram Channel