TIDAK seperti mana dakwaan seteru politik, Perikatan Nasional (PN) percaya
keputusan Dato Dr Xavier Jeyakumar meninggalkan PKR dan menyokong kerajaan PN
adalah kerana beliau mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut Setiauaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin,
ini memandangkan Xavier adalah seorang Ahli Parlimen yang sangat berpengalaman
luas.
Justeru katanya, PN mengalu-alukan pengisytiharan terbuka Ahli Parlimen Kuala
Langat itu yang juga mantan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk
menjadi Ahli Parlimen Bebas dan menyokong Kerajaan PN.
“Dalam hal ini, PN menyifatkan sokongan beliau sebagai satu lagi manifestasi
keyakinan terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
membantu rakyat terutama ketika menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya
dalam satu kenyataan media hari ini.
Xavier menjadi perhatian ramai ketika ini apabila mengumumkan meninggalkan PKR
dan menjadi Ahli Parlimen Bebas setelah hilang keyakinan kepada parti
tersebut.
Bagaimanapun, PKR dalam respons awal mengaitkan keputusan bekas menteri era
Pakatan Harapan (PH) itu dengan siasatan rasuah yang sedang berjalan ke atas
individu yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengannya.
Ahli Parlimen Kuala Langat itu menjadi Ahli Parlimen PKR ketiga dalam tempoh
terdekat ini yang mengumumkan menyokong kepimpinan kerajaan PN.
Isu lompat parti juga menimbulkan kritikan ramai dalam kalangan rakyat
merentas kepartian kerana hal berkenaan berlaku meluas sejak Pilihan Raya Umum
Ke-14 lalu, melibatkan blok PN dan juga sesama PH.
Berikutan itu, banyak ahli akademik menggesa pindaan Perlembagaan Persekutuan
bagi membolehkan undang-undang sekat lompat parti digubal.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari berkata, apa jua
siasatan jika ada yang melibatkan ahli politik perlulah diteruskan dengan adil
dan saksama tanpa mengira peralihan kiblat dan sokongan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- SPRM tahan timbalan pengerusi PKR Perak
- Proksi Xavier Jayakumar ditahan, RM1.2 juta, kereta mewah dirampas
- Xavier Jayakumar umum keluar PKR serta-merta, sokong PN selepas proksi ditahan SPRM
- Tinggal PKR sokong PN, Xavier utamakan rakyat – Hamzah
- Selepas Xavier lompat, adakah siasatan dihentikan? – Shahril
Join our Telegram Channel