PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata, Umno
sudah membuat keputusan untuk mengambil semula semua kawasan pilihan raya
“milik” parti berkenaan di seluruh negara.
Ini susulan laporan bahawa Perikatan Nasional (PN) mengajak Umno kembali ke
meja rundingan, khususnya berkaitan 13 kerusi Parlimen yang dimenangi parti
itu sebelum ini.
“Pendirian Umno ialah mengambil semula semua ‘kawasan lompat’ itu. Jadi bila
nak ambil balik, tiada perundingan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian,
hari ini.
Tajuddin berkata, keputusan Umno itu tidak bermakna parti itu berhasrat untuk
memusnahkan kerajaan PN, seperti dakwaan ketua penerangan gabungan itu Mohamed
Azmin Ali yang meminta Umno tidak memusnahkan kerjasama yang dibina sejak
setahun lalu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya Umno mahu memusnahkan kerajaan PN. Tidak ada
tujuan kita untuk memusnahkan. Itu sebab kita kata Umno akan sokong kerajaan
PN sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya.
Terdahulu PN mengajak Umno supaya kembali ke meja rundingan bagi membincangkan
sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi antara punca keretakan
kerjasama tersebut.
“Kalau itulah yang menjadi tuntutan mereka, ayuh kita bincang. Jangan kerana
13 kerusi Parlimen ini seluruh kerajaan mahu diruntuhkan,” kata Azmin.
Tajuddin berkata, keputusan untuk mengambil semula semua kawasan milik parti
berkenaan bukanlah dibuat secara suka-suka, sebaliknya bertujuan untuk menjaga
Umno.
Menurutnya, ini memandangkan terdapat pihak yang mahu menghancurkan Umno di
peringkat akar umbi dan atasan dengan menarik ahlinya.
“Kita buat keputusan hendak jaga parti kita. Apabila parti kita terjaga, baru
kita boleh berkhidmat kepada rakyat.
Join our Telegram Channel