Ahli Parlimen Pekan Najib Razak memberi amaran kepada kerajaan Perikatan
Nasional bahawa anak muda tidak akan lupa "kemungkiran janji" berhubung Undi
18, merujuk kepada umur minimum layak mengundi dan pendaftaran undi automatik
bagi belia berumur 18 tahun.
Dalam kenyataan di Facebook, bekas perdana menteri itu berkata dia percaya
kerajaan PN tidak mahu melaksanakan Undi 18 kerana mereka percaya majoriti
anak muda marah dengan kerajaan pada ketika ini.
"Saya percaya orang muda tidak akan mudah lupa kemungkiran janji ini. Saya
pernah jangka kerajaan PN akan kurang ingin laksanakannya - seperti apa yang
saya tulis pada awal bulan ini.
"Saya percaya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan Undi 18 sebab mereka percaya
majoriti pemuda marah dengan kerajaan pada ketika ini.
"Namun, usul Undi 18 ini telah diluluskan sebulat suara oleh semua ahli
parlimen pada bulan Julai 2019 dan kita diberitahu bahawa ia akan dilaksanakan
selewatnya dua tahun kemudian iaitu bulan Julai 2021 yang semakin menjelang,"
katanya.
Najib menambah bahawa adalah "tidak logik" untuk kerajaan memerlukan tempoh
sepanjang lebih tiga tahun untuk melaksanakan Undi 18.
"Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir mahu laksanakan ke
tidak Undi 18 kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar
terhadap parlimen dan proses demokrasi.
"Pendapat saya ialah jika ia telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang
bantahan atau mana-mana ahli parlimen yang berkecuali, maka Undi 18 patut
dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui.
"Usul dengan majoriti 2/3 menyokong boleh tukar perlembagaan persekutuan. Ini
kan usul dengan sokongan 100 peratus undi secara sebulat suara?" katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) sebelum ini memaklumkan akan menangguhkan Undi
18 kepada September tahun depan, meskipun menteri undang-undang Takiyuddin
Hassan pernah mengatakan ia dijangka dilaksanakan pada Julai.
SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) mempengaruhi perancangan dan
persiapan untuk menurunkan usia minimum pengundi.
Bagaimanapun, pengkritik berpendapat tidak ada alasan mengapa sistem
pendaftaran pengundi yang ada tidak dapat diperluas kepada mereka yang berusia
18 tahun.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang mendesak
Pengerusi SPR Abdullah Ghani Salleh untuk mengundurkan diri dan memberi laluan
kepada pengerusi baru yang dapat memenuhi mandat Parlimen.
"Keputusan itu (menangguh Undi 18) melanggar mandat Parlimen untuk membenarkan
rakyat Malaysia berusia berumur 18 tahun untuk mengundi pada pilihan raya akan
datang.
"Ini sama sekali tidak dapat diterima dan pengerusi SPR akan didapati
melakukan kesalahan yang membawa kepada pemecatan sekiranya Parlimen tidak
digantung," katanya dalam satu kenyataan.
Join our Telegram Channel