KUALA LUMPUR: Lima kali bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendengar
sendiri falsafah perjuangan politik Presiden PKR itu, akhirnya menemukan Datuk
Afdlin Shauki pada jawapan kenapa beliau harus memilih untuk bersama-sama
parti berkenaan dalam langkah politiknya.
PKR, kata Afdlin, misi parti itu, seiring dengan kecintaan beliau pada
kerja-kerja kemasyarakatan.
Mendampingi rakyat, menyantuni golongan tidak berkemampuan dan membantu
mengubah nasib golongan yang memerlukan adalah kerja-kerja yang sering
dilakukan Afdlin selama ini di bawah payung pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Justeru, melihat ketekunan Anwar dan PKR meletakkan kebajikan rakyat pelbagai
kaum sebagai keutamaaan dalam perjuangan menyebabkan seniman itu membulatkan
tekad untuk berada dalam platform yang sama.
Dalam masa sama, Afdlin, 50, juga mengagumi semangat perjuangan Anwar yang
juga Ketua Pembangkang.
Kata Afdlin, segala kepayahan yang dilalui Anwar sepanjang beberapa dekad
dalam gelanggang politik benar-benar menyentuh hatinya.
“Perjuangan Datuk Seri Anwar dari kaca mata saya seperti mana yang dilalui
Nelson Mandela. Seperti mana Nelson Mandela melalui kepayahan sehingga
dipenjara, demikian juga dengan Datuk Seri Anwar.
“Saya kagum dengan ketabahan dan kesabaran beliau,” kata Afdlin dalam
wawancara bersama Astro AWANI.
Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 2013 merupakan bekas
Presiden Afrika Selatan yang mengetuai peralihan pentadbiran negara itu
daripada minoriti kulit putih pada awal 90-an selepas 27 tahun dipenjara.
Afdlin yang menempa kemasyhuran sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan
penerbit pada Selasa mengesahkan kepada Astro AWANI memilih PKR sebagai wadah
politiknya.
Penyertaan Afdlin akan diumumkan secara rasmi oleh Anwar yang juga Ahli
Parlimen Port Dickson pada malam ini.
Pernah bersama UMNO sebelum ini, penghijrahan Afdlin ke PKR semata-mata untuk
bersama-sama Anwar melakukan perubahan pada gelanggang politik dan ke arah
kebaikan Malaysia untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Sebagai seorang bapa kepada tiga cahaya mata, Afdlin berkata, untuk melihat
masa depan negara yang lebih gemilang, Malaysia harus dipimpin oleh seorang
pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
“Datuk Seri Anwar memiliki ciri-ciri dan nilai-nilai kepimpinan yang
diperlukan negara. Saya tidak ragu-ragu untuk bersama PKR, mahu membantu
beliau membawa Malaysia ke landasan yang diperlukan,” ujar Afdlin lagi.
Selain Afdlin, rakannya, Datuk Hans Isaac juga sebelum ini dilihat semakin
aktif dalam lapangan politik dan difahamkan PKR juga menjadi wadah pilihannya.
Ditanya maklum balas daripada golongan karyawan seni terhadap keputusannya
untuk bergerak aktif dalam politik, Afdlin berkata, sebetulnya ramai rakan
artis yang mempunyai keinginan sama sepertinya.
Namun, kebimbangan sebahagian besar daripada mereka, tegas Afdlin, ialah risau
periuk nasi terjejas hanya kerana memberi sokongan secara terbuka pada parti
politik pembangkang.
“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana masing-masing perlu menjaga kerjaya.
Namun, saya amat yakin, sekalipun memilih untuk bersama parti politik apa
sekalipun, rezeki Allah yang akan tentukan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel