KLANG: Polis akan merakam keterangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu rakaman audio
yang didakwa mirip suara mereka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kertas siasatan
mengenai perkara itu juga sudah dibuka.
"Prosedur operasi standard (SOP) apabila kertas siasatan dibuka, itulah yang
perlu diambil (keterangan). Apabila tiba masanya, pegawai penyiasat akan
merakamkan kenyataan, ia adalah proses siasatan.
"Sekiranya, kedua-dua pihak iaitu Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil buat aduan supaya polis
boleh buat siasatan dari sudut itu," katanya pada sidang media selepas Majlis
Perasmian Taman Angkat AMANITA Kontinjen Selangor, di Bandar Puteri, dekat
sini.
Beliau berkata, proses tindakan akan diambil satu persatu yang mana rakaman
itu kini dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis ketulenannya.
Katanya, sekiranya sudah ada, hasil analisis itu akan diangkat kepada Jabatan
Peguam Negara untuk klasifikasi kes serta tindakan lanjut.
"Sebolehnya, dalam apa juga kes kita cuba untuk dapatkan penyelesaian cepat
dan siasatan segera," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani
berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung rakaman
audio itu di seluruh negara.
"Rakaman audio itu akan dihantar ke Makmal Forensik bagi dianalisis
perbandingan persamaan suara dalam rakaman audio berkenaan.
"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya
Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Presiden
UMNO, dan Presiden PKR didedahkan di media sosial.
Join our Telegram Channel