Mohamed Azmin Ali yakin audio yang dikatakan perbualan antara Presiden PKR
Anwar Ibrahim dan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merupakan rakaman sahih.
Ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia membuat kesimpulan
itu berdasarkan pengalamannya yang lama berkhidmat bersama Anwar ketika di
dalam PKR.
Menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri itu mendakwa Anwar bukan
sahaja melakukan penghianatan besar kepada PKR, malah kepada komponen parti
dalam Pakatan Harapan (PH).
"Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur kepada sekurang-kurangnya
kepada ahli parti masing-masing.
"Saya kira ini merupakan pengkhianatan yang terbesar yang dilakukan Anwar
Ibrahim bukan saja kepada partinya sendiri tapi juga kepada anggota komponen
PH kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan.
"Saya sebagai pegawai yang telah berkhidmat dengan beliau sekian lama dan
merupakan (bekas) setiausaha sulit beliau, saya yakin itu adalah rakaman yang
sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Gombak itu juga menuntut siasatan segera
dilakukan terhadap pendedahan audio berkenaan.
Dia berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ihya' Ramadan kepada
masjid dan surau Parlimen Gombak, di Masjid Gombak Utara, Gombak.
Acara tersebut turut dihadiri Adun Gombak Setia merangkap setiausaha politik
Azmin, Muhammad Hilman Idham.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin juga
menyatakan yakin bahawa rakaman itu mengandungi suara Anwar, berdasarkan
pengalamannya selama 20 tahun dalam PKR.
Azmin merupakan bekas timbalan presiden PKR, manakala Zuraida pula bekas naib
presiden parti itu sebelum kedua-duanya melompat untuk membentuk kerajaan PN
Februari tahun lalu.
Audio yang tular beberapa hari lalu itu memaparkan perbualan dua pihak yang
mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid.
Suara berkenaan antara lain bercakap mengenai Perhimpunan Agung Umno dan
ucapan ahli parlimen Bagan Datuk semasa perhimpunan berkenaan.
Kedua-dua mereka menafikan kesahihan klip audio berkenaan.
Namun Anwar semalam mempersoalkan apakah dia melakukan sebarang jenayah
sekiranya rakaman video tersebut adalah tulen.
'Kerajaan tak bertindak di luar perlembagaan'
Disoal mengenai keputusan PH untuk menghantar memorandum kepada Yang
di-Pertuan Agong untuk menyokong pembukaan semula parlimen, Azmin berkata
setakat ini kerajaan bertindak dalam ruang lingkup perlembagaan berhubung
pengisytiaharan darurat.
"Kita tak pernah bertindak di luar perlembagaan dan undang-undang. Maka apa
juga tindakan dan keputusan yang akan diambil, adalah bertepatan dengan
perlembagaan dan undang-undang negara dan demi kebaikan rakyat dan negara,"
katanya.
PH sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk mengumpulkan tandatangan semua
ahli parlimen yang menyokong pembukaan semula parlimen menerusi satu
memorandum untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Rakaman audio memang sahih. 😝 Tapi rakaman video HD, disertai pengakuan salah seorang pelaku, serta bukti CCTV hotel semuanya tak sahih. 🤣 This is anjing. 🤣 Link: https://m.malaysiakini.com/news/570306
Posted by Nabeel Naqie IV on Sunday, 11 April 2021
Join our Telegram Channel