PETALING JAYA- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menegaskan
akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU-15).
Pengukuhan kerjasama antara kedua-dua parti itu dinyatakan menerusi
kenyataan bersama dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri
Hamzah Zainudin dan Setiausahan Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Kata kenyataan itu, Bersatu dan Pas selaku parti pengasas utama PN bakal
menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka
strategi dan halatuju parti pada PRU-15.
“Ia termasuklah rundingan bagi pengagihan kerusi dan segala keputusan
dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan
oleh parti komponen.
“Bersatu dan Pas juga bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baharu
bagi menubuhkan kerajaan pasca PRU-15 terutama melibatkan Pakatan Harapan
(PH) serta sekutunya,” katanya.
Katanya, kedua-dua parti itu juga sentiasa komited memperkukuhkan penyatuan
ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk sekaligus menolak usaha
merosakkan perpaduan. – Kosmo
Join our Telegram Channel