PETALING JAYA: Seorang bekas menteri undang-undang berkata, orang yang tidak
berintegriti adalah mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk
kekal berkuasa melalui darurat.
Zaid Ibrahim berkata, integriti berbeza dengan keperluan majoriti.
Merujuk kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang menyatakan apa guna
orang politik memegang majoriti besar kalau mereka tidak ada integriti, Zaid
berkata bagi Hadi dan barisan kepimpinan hari ini, integriti itu hanya ada
pada orang yang belum dituduh atau tidak ada kes jenayah di mahkamah.
“Rumusan yang saya faham dari kenyataan ini ialah kalau parti seperti Umno dan
Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar, itu semua tidak ada erti
kerana mereka tidak ada integriti.
“Sebaliknya, ramai pemimpin Umno sekarang ini (ramai menggelar kumpulan
pemimpin ini ‘kluster mahkamah’) nampaknya tidak berintegriti,” katanya dalam
kenyataan.
Zaid berkata, golongan berkenaan tidak hipokrit dan tidak menyalahgunakan
kuasa.
Menjelaskan maksud sebenar integriti, Zaid berkata ia adalah sifat dan nilai
seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan
tidak putar belit fakta untuk sesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa.
“Orang yang dihadapkan ke mahkamah, di mana keputusan muktamad belum selesai
tidak termasuk dalam golongan orang yang tidak berintegriti,” katanya.
Sebaliknya, Zaid berkata mereka yang tidak berintegriti adalah orang yang
menggunakan kuasa kerajaan untuk “memujuk” wakil rakyat lompat parti,
menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Katanya, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam, tetapi tidak
sanggup membuat perubahan struktur dan menyeluruh dalam sistem pentadbiran
negara secocok dengan kehendak negara demokrasi tulen juga tidak berintegriti.
“Biarlah rakyat menentukan siapa ada majoriti dan siapa ada integriti.
Join our Telegram Channel