Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dalang sebenar pembikinan
dua video Hari Raya Aidilfitri, yang mempromosi iklan perjudian secara dalam
talian.
Lelaki yang kini dicari polis itu dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35, dan
beralamat di Kuala Lumpur dan dia dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut
Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan
Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki
terbabit dipercayai terlibat dalam mengarah pembikinan dua video mempromosi
perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial.
“Selain itu, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dan wanita yang
merupakan dua pelakon video kedua yang tular itu, untuk membantu siasatan kes
ini,” katanya pada dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,
di Kuala Lumpur, hari ini.
Polis turut mengesahkan video pertama dan kedua iklan promosi judi itu adalah
daripada produksi yang sama, dan walaupun pelakonnya berbeza polis percaya
mereka mengenali antara satu sama lain, dan siasatan polis mendapati pelakon
video itu dibayar RM180 seorang.
Beliau berkata, video pertama yang tular semalam dan video kedua yang mula
tular pagi ini, jelas sengaja dilancarkan pada bulan Ramadan sekali gus
mencemarkan imej Islam dan bulan puasa.
Sehubungan itu, Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi
video-video yang salah di sisi undang-undang, dan meminta mereka yang
mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Zairil Hazly
Zulkifli di talian 017-4589997 atau balai polis berhampiran.
“Apa-apa kegiatan yang mempromosi judi adalah satu kesalahan,” katanya sambil
memberitahu polis percaya mereka yang di sebalik pembikinan video itu adalah
penganjur judi dalam talian di negara ini.
Mohamad Zainal berkata, lapan individu ditahan semalam bagi membantu siasatan
kes itu dengan dua daripada mereka iaitu pengarah produksi dan jurukamera
video berkenaan, direman sehingga 21 April, manakala enam lagi yang merupakan
pelakon dalam video pertama dibebaskan.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam
kenyataan media hari ini berkata, lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana
disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian
secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam sehingga
membangkitkan kemarahan orang ramai.
Kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen
artis, juruvideo, jurukamera, penerbit, pengarah penggambaran video berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Polis siasat penerbit, pelakon video iklan raya judi
- Kami profesional, takkan nak hentikan shooting, kata pelakon video judi raya
- Kesemua pelakon video judi raya berjaya diberkas
- Permohonan reman 5 pelakon, produser video iklan raya judi ditolak
- Islam dihina lagi, satu lagi video iklan raya judi tular
- Hanya perlukan RM180 untuk hina Islam, pelakon judi raya akui dibayar murah
- Pembayar upah pelakon video judi raya ditahan
Join our Telegram Channel