Intip
Mendedahkan rahsia adalah amalan jahat dan dosa besar. Privasi adalah hak
setiap orang. Ia bermula daripada usaha mengintip, mengintip dan seterusnya
menyebarkannya.
Ia seawalnya adalah kerja kumpulan iblis dan syaitan di langit. Mereka
berterbangan di langit dalam usaha mencuri-curi berita-berita berkaitan urusan
langit dan bumi yang ditentukan oleh Allah. Jika mereka dapat, mereka akan
segera menyebarkan maklumat tersebut kepada para wali mereka daripada kalangan
manusia iaitu para bomoh, tukang sihir, tukang tilik dan seumpamanya.
Untuk mencapai tujuan buruk mereka, mereka akan mencampur adukkan di antara
kebenaran dan kepalsuan, seterusnya menyebarkan benih-benih perpecahan di
kalangan manusia apabila mempercayai khabar-khabar daripada para wali syaitan
tersebut.
Justeru agama Islam mengharamkan umatnya pergi dan mempercayai bomoh, tukang
tilik, apatah lagi tukang sihir. Semua itu langkah-langkah syaitan untuk
memecahkan dan menyesatkan anak Adam.
Kesalahan dan dosa mengintip dan mendedahkan rahsia individu akan ditanggung
oleh individu tersebut. Ia bergantung kepada sebesar mana kesan buruk dan
kerugian yang ditanggung oleh mangsa tersebut.
Justeru setiap muslim mestilah menjauhinya dan bertaubat jika pernah terlibat
dengan aktiviti tersebut. Takutilah bahawa kelak Allah akan mendedahkan
rahsianya pula.
Dalam perang, termasuk perang politik, intipan adalah dibenarkan. Rasulullah
صلي الله عليه وسلم sering menggunakan kaedah intipan terhadap musuh untuk
mengetahui rahsia dan kekuatan mereka.
Walau bagaimanapun, di dalam pemerintahan negara, intipan ke atas rakyat oleh
pihak pemerintah menggunakan jentera dan peralatan moden kerajaan adalah
dibenarkan selama mana demi menjaga maslahat rakyat keseluruhannya. Ia
termasuk mengintip pergerakan kartel dadah, kongsi gelap apatah lagi tali
barut yang membantu musuh negara dari luar.
Adapun mengintip menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan peribadi atau
kepentingan parti masing-masing demi laba persaingan politik, maka ia adalah
salah guna kuasa yang terlarang oleh ugama.
Setiap mukmin terikat dengan syarat dan janji dalam segala urusan muamalahnya
sesama mereka. Pemerintahan adalah amanah. Menyalah gunakan jentera kerajaan
demi membunuh parti dan saingan politik lain adalah khianat, salah dan dosa.
Ia juga membantutkan usaha memulihkan demokrasi dan integriti yang sedang
dituntut oleh seluruh rakyat.
Saya tidak tahu, jika benarlah intipan audio perbualan Zahid-Anwar itu,
siapakah dalang intipan tersebut. Jika dia individu, dia menanggung dosa.
Jika ia daripada jentera kerajaan, ia adalah amat salah. Bukan itu tujuan
kekuatan intipan negara. Ia tidak bertujuan sewenang-wenangnya demi
kepentingan individu dan parti.
Saya harap ia bukan daripada pihak kerajaan. Jika sebaliknya, saya berdoa dan
berharap ia bukan daripada komplot PAS. PAS terhalang oleh hukum agama yang
diimaninya daripada menggunakan perkara haram demi sampai pada matlamat
perjuangan sucinya.
Seruan saya, sihatkan politik negara demi kesejahteraan bersama.
Selamat menyambut bulan Ramadan al mubarak.
Join our Telegram Channel