PUTRAJAYA: Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, mempersoalkan kenapa
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dilantik untuk mendengar kes
berkait SRC International, kes yang dianggap paling penting dalam abad ini.
“Pada saat-saat akhir mereka melantik seorang hakim yang tiada pengalaman
dalam perbicaraan jenayah,” katanya dalam rayuan Najib di hadapan barisan tiga
hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil.
Shafee berkata hakim besar Malaya ketika itu, menjawab suratnya, berkata ia
pemindahan rutin.
Sebelum itu, Hakim Sofian Abd Razak yang menjalankan pengurusan kes SRC dengan
tujuan untuk menghakimi perbicaraan itu.
Shafee berkata dalam lebih 40 tahun pengalaman sebagai seorang bekas timbalan
pendakwa raya dan peguam, kes jenayah yang kompleks didengari hakim
berpengalaman.
Beliau mengambil contoh kes bekas menteri besar Selangor, Harun Idris, yang
berdepan tuduhan rasuah pada 1977; dan kes bekas timbalan perdana menteri,
Anwar Ibrahim, yang dituduh salah guna kuasa pada 1999.
“Dalam kedua-dua kes itu, hakim yang berpengalaman dalam kes jenayah mendengar
kes-kes itu,” katanya.
Beliau mendakwa Nazlan membuat beberapa kesilapan dalam kes SRC. Abdul Karim
kemudian minta Shafee tunjukkan kesilapan itu.
Pada 28 Julai tahun lepas, Nazlan menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas
Najib, dan mengarahkan bekas perdana menteri itu membayar denda RM210 juta,
selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah
amanah, dan pengubahan wang berkait RM42 juta milik SRC International.
Najib sedang merayu sabitan dan hukuman itu.
Shafee berhujah Nazlan, semasa memerintahkan Najib membela diri pada 11 Nov
2019, berkata pihak pendakwaan dapat membuktikan kes prima facie.
Namun, selepas mendapati Najib bersalah, Nazlan memasukkan beberapa sebab lain
kenapa Najib diperintah membela diri, katanya.
“Ini sangat tidak wajar dan prejudis terhadap tertuduh,” katanya, dan menambah
ini satu kekhilafan yang serius.
Shafee berkata dalam perbicaraan jenayah, mahkamah mesti percaya akan
kata-kata tertuduh sungguhpun berasa sangsi, terutama apabila kebebasan asasi
menghadapi risiko akan tergugat.
Join our Telegram Channel