Saya menyangka bahawa hari semalam akan berlangsung seperti rutin harian
setiap kali saya menghadiri perbicaraan di mahkamah sejak 3 tahun yang lalu.
Namun sangkaan saya berakhir dengan sesuatu yang tidak disangka.
Sejak hari pertama saya dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan, sehingga
hari saya dijatuhkan hukuman, dan seterusnya sehingga hari ini, saya
sentiasa menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan telah dianiayai.
Saya mungkin tidak mempunyai kebebasan untuk berkongsi dengan lebih lanjut
mengenai proses mahkamah dan strategi rayuan peguam-peguam saya, tetapi
cukup untuk saya katakan di sini bahawa saya akan terus membela diri dan
menegakkan kebenaran.
Sejak tiga minggu kebelakangan ini, saya telah melihat kembali perjalanan
proses pendakwaan terhadap saya termasuklah tindakan pihak bertanggungjawab
untuk menutup mata terhadap segunung bukti yang membukti kebenaran saya,
saksi-saksi penting dan golongan berpengaruh yang ghaib, dan pengampunan
tersembunyi yang diberikan kepada individu-individu berjawatan tinggi dan
penting yang telah dibukti mempunyai hubungan rapat dan terlibat dengan
pemimpin-pemimpin politik yang lantang menentang dan mengaibkan saya.
Sewaktu saya bersiap-siap diri untuk ke mahkamah semalam, hati saya merasa
pedih merasakan betapa beratnya ketidakadilan yang dipikul dalam kes ini.
Awan gelap yang menyelubungi minda saya berarak dengan kepiluan yang
menyedarkan saya bahawa apa yang saya lalui hari ini bukanlah sesuatu yang
asing dan baru dalam sejarah perundangan negara.
Penganiayaan seperti ini, sama ada yang bermotifkan politik, peribadi dan
sebagainya, bukan sahaja sebahagian dari perang taktikal untuk mengawal dan
mendominasi musuh.
Mungkin tidak ramai yang melihat bahawa penganiayaan ini memberi kesan
jangka panjang dan parut yang tidak akan sembuh kepada mangsa.
Walaupun saya terus bersemangat untuk membuktikan kebenaran terhadap diri
saya, saya tidak membenarkan kepedihan pengalaman ini untuk membakar api
kebencian dan dendam dalam diri saya.
Sebaliknya, akan saya genggam bara ini menjadi abu yang akan saya semai
bersama benih harapan untuk meneruskan khidmat saya kepada rakyat.
Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai penunjuk arah dalam perjalanan
saya membela diri dan mengembalikan kepercayaan rakyat mengenai penganiayaan
yang sedang berlaku.
Yang lebih penting lagi, saya akan menggunakan kemampuan yang ada untuk
menampilkan rayuan terbaik bersama barisan peguam saya untuk membantu para
hakim dan panel hakim yang bijaksana untuk membuat keputusan yang berpihak
kepada kebenaran dan tidak sebaliknya.
Saya ingin memastikan bahawa kali ini, roh keadilan akan dihormati seperti
yang sepatutnya, tidak seperti sewaktu proses sabitan saya terdahulu.
Saat saya merasa bahawa tiada apa lagi yang boleh mengejutkan saya dalam
perjalanan ini, takdir memilih untuk sebaliknya dan membuktikan saya masih
boleh tersilap.
Setelah selesainya prosedur mahkamah semalam, saya ditemui wakil Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman peribadi saya di mana saya diberikan
notis muflis berkaitan dengan ringkasan penghakiman cukai pendapatan saya
dari 2011 hingga 2017!
Mungkin tindakan memberi saya notis muflis pada hari pertama rayuan kes saya
didengari adalah bertujuan untuk menabur garam ke luka ketidakadilan yang
masih berdarah atau untuk terus memalukan saya.
Bagaimana ia terjadi?
Kes cukai ini dikenakan terhadap saya oleh kerajaan PH dan langsung tidak
mempunyai alasan kukuh atau merit. Ia kemudian diteruskan oleh kerajaan PN.
Ia berkaitan sejumlah RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun yang
menggunakan nama saya di mana akaun itu diwujudkan bagi menerima sumbangan
derma (sebagaimana didedahkan di mahkamah), dan RM642 juta dipindahkan
secara terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi (dan ini juga dibuktikan
di mahkamah). Jumlah RM2.6 bilion yang sangat popular (sebenarnya RM2
bilion) sudah DIPULANGKAN empat bulan kemudian.
Ini sebenarnya dibuktikan sekali lagi beberapa hari lalu dalam mahkamah
apabila pendakwaan kata:
"Faten Hadni berkata, analisis dan jejakan kewangan menggunakan kaedah FIFO
ke atas penyata akaun bernombor 9694 milik Najib mendapati sebanyak
RM2,034,350,000 telah dipulangkan semula ke akaun Tanore." Rujuk di
sini.
Biarpun sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa membayar cukai pendapatan
tanpa gagal tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan
penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan
penalti yang tidak munasabah.
Sebelum ini, LHDN pernah keluarkan kenyataan di mana derma politik tidak
dikenakan cukai.
"Sumbangan Politik Tidak Dikenakan Cukai - CEO LHDN". Rujuk di
sini.
Selain itu, semua wang yang diterima dalam akaun khas sudah digunakan bagi
tujuan CSR serta politik dan bukan untuk tujuan peribadi - termasuk
sumbangan kepada masjid di Malaysia dan bantuan banjir selama 4 tahun
termasuk banjir besar pada 2014.
Bayangkan saya dikenakan penalti cukai RM1.7 bilion sebab gunakan wang dari
Arab Saudi untuk membantu mangsa banjir dan masjid-masjid seluruh negara
selama 4 tahun!
Kita perhatikan wang digunakan ini semua adalah untuk rakyat, tempat
beribadah dan membantu mereka yang memerlukan tanpa perlu terhutang budi
pada mana mana syarikat kroni.
Kesemua akauntan percukaian dan peguam percukaian termasuk yang
berpengalaman di negara ini bersetuju bahawa kerajaan tiada merit untuk
mengenakan penalti seperti itu dan tindakan itu sebagai tidak munasabah.
Dari zaman PH sehingga zaman PN kini, tiada seorang pun yang berani menjawab
kenapa wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas 4 bulan dikira
sebagai pendapatan peribadi dan dicukai serta dikenakan penalti 40% +10%
+5%.
Bagaimanapun, undang-undang percukaian di negara ini terdedah kepada
penyalahgunaan di mana prinsipnya adalah seseorang itu perlu melangsaikan
penalti dahulu sebelum merayu dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan.
Dan jika anda tak boleh menjelaskannya, LHDN boleh isytihar anda muflis.
Pada November tahun lalu, menteri kewangan ketika ini diberi taklimat
tentang kes cukai ini di mana beliau datang berbincang dengan saya untuk
bertanya mengapa saya berkeras mahukan pengeluaran KWSP. Selepas beliau
dapat tahu tentang derma negara asing dan dana dipulangkan empat bulan
kemudian dikenakan cukai, beliau pergi ke LHDN dan meminta agensi itu
berbincang dengan saya untuk jalan penyelesaian.
Bagaimanapun, minggu lepas beliau diberitahu oleh bosnya, untuk tidak lagi
terlibat dengan isu cukai ini dan serahkan kepada bosnya.
Tiba tiba, rundingan dihentikan dan notis bankrap ini diserahkan kepada
saya.
Saya yakin, masa notis muflis ini adalah berkaitan dengan 3 isu:
1. Undian dijalankan penyelidikan UUM dan Utusan TV melibatkan 60,000
responden menunjukkan yang saya adalah PM pilihan bagi PRU15 dengan separuh
dari undian manakala PM pada masa ini jauh di belakang dan hanya menduduki
tempat keempat.
BN pula juga gabungan pilihan pertama dalam poll manakala PN di tempat
tercorot.
2. Keputusan PAU UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PPBM/PN ketika PRU15.
3. Kesimpulan terkini kes pelupusan harta di mana pendakwaraya gagal
membuktikan barangan dan wang yang disita diperolehi dari dana 1MDB. Malah,
hakim turut menolak afidavit pendakwaraya yang dikemukakan pada saat akhir.
Hakim dijangka akan membuat keputusan untuk kes ini bulan depan.
4. Bermulanya rayuan kes SRC di mana kami mempunyai 307 alasan kukuh mengapa
hakim tidak berpengalaman yang tidak memiliki pengalaman kendali kes jenayah
dan tiba tiba dipindahkan dari mahkamah sivil menggantikan hakim jenayah
berpengalaman selepas perbicaraan bermula, membuat keputusan salah dengan
mensabitkan saya. Peguam saya yakin saya mempunyai peluang yang baik dalam
rayuan ini apatah lagi ahli keluarga salah seorang saksi pendakwaan didapati
menerima ratusan juta dari Jho Low selepas sabitan saya.
Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini?
1. Saya akan kehilangan status Ahli Parlimen Pekan dan pilihanraya kecil
akan diadakan.
2. Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan
pilihanraya.
3. Saya akan kehilangan semua wang simpanan yang saya kumpulkan semasa
bekerja dalam perkhidmatan kerajaan di mana ia sekarang digunakan untuk
menyara hidup dan membayar peguam saya.
Bagaimana saya nak membela diri dan membersihkan nama saya dalam kes-kes
mahkamah jika saya dibankrapkan, akaun bank saya dibeku, pendapatan dari
jawatan ahli parlimen dihentikan dan akibatnya, saya tidak dapat mengupah
peguambela?
4. Saya tidak akan mempunyai wang lagi untuk bayar fi peguam saya bagi
menjalankan tugas pembelaan di mahkamah.
5. Saya tidak akan terima kembali barangan dan wang yang disita biarpun jika
saya menang kes itu.
Melihat ke depan:
1. Saya tidak akan tunduk kepada individu yang menyalahgunakan undang-undang
negara ini untuk menzalimi saya atas dasar politik dan ketamakan untuk
berpaut pada kuasa.
2. Saya akan terus bersuara demi rakyat Malaysia.
3. Saya telah meminta peguam untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman.
Saya juga dengan rendah diri meminta semua akauntan cukai, peguam percukaian
dan NGO untuk meneliti kes percukaian ini bagi memberi pandangan sama ada ia
mempunyai merit atau sebaliknya.
Tidak ramai yang mengetahui, terutamanya dikalangan mereka yang masih cuba
untuk terus menggertak dan mengugut saya, bahawa pengalaman yang saya lalui
dari hari ke hari sejak tiga tahun lalu telah menjadikan saya lebih kuat
dalam mendepani cabaran seperti ini.
Saya tahu, jauh di sudut hati saya, bahawa niat disebalik pemberian notis
ini melangkaui sekadar prosedur perundangan dan pelaksanaan yang harus
dipenuhi oleh pihak berkuasa.
Setelah saya menghadami pemberian notis tersebut, saya tidak boleh
melepaskan soretan pemikiran yang membelenggu saya sejak sekian lama.
Sejurus tamatnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, wujud beberapa
insiden dan tuduhan tidak disenangi yang dihunuskan kepada saya dan beberapa
individu lain di dalam parti.
Mungkinkah dalam kerakusan sesetengah pihak dalam persiapan Pemilihan Parti
yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi, ada yang berkompromi dengan
musuh dan secara tidak lansung mendedahkan diri mereka yang sebenar kepada
saya?
Satu yang pasti buat saya adalah kegopohan mereka akan memakan diri kerana
ia telah membuktikan kepada saya sesuatu yang telah lama saya syaki, iaitu
terdapat lebih dari satu pihak seakan ‘invisible hand’ yang mahu
bergelut untuk mengawal kuasa dalam parti UMNO dan kemudiannya, mendapat
kuasa di Putrajaya.
Kerana sesiapa yang berjaya memimpin UMNO – parti yang mempunyai kuasa,
pengaruh, dan pengalaman tiada tandingan – mempunyai peluang besar untuk
memimpin negara suatu hari ini. Ini adalah impian yang sekian lama disorok
oleh ramai pihak di dalam parti.
Sewaktu UMNO dan BN mengalami kekalahan besar di pilihan raya terdahulu,
saya telah cuba melakukan yang terbaik sebagai seorang pemimpin dan
melepaskan jawatan saya sebagai Presiden parti dengan rasa tanggungjawab.
Selepas itu, tahun-tahun seterusnya yang saya jalani sebagai ahli biasa
parti tanpa sebarang jawatan dan tempat dalam kerajaan telah mengajar saya
sikap rendah diri dan menambah kefahaman akan erti sebenar menjadi seorang
pemimpin.
Kefahaman ini membuahkan kearifan yang membolehkan saya melihat dengan jelas
setelah sekian lama dan membezakan di antara musuh dan rakan dalam selimut.
Menerima kenyataan hidup saya sekarang dan menguatkan iman untuk mendepani
cabaran akan datang.
Meneruskan perjuangan untuk menebus maruah dan kekhilafan terdahulu sewaktu
saya memipin negara dan parti, bukan sahaja untuk meyakinkan diri saya,
tetapi untuk parti yang amat saya sayangi dan ahli-ahlinya yang layak
mendapat kepimpinan terbaik.
Saya telah berikrar untuk berkhidmat kepada parti keramat yang telah
menambahbaik kehidupan jutaan rakyat di setiap lapisan generasi dengan sikap
nasionalis, berwawasan dan bertanggungjawab.
Akan saya penuhi ikrar ini mengikut kemampuan yang saya ada sekarang
sehingga nafas terakhir dan memastikan rakyat Malaysia terutamanya dan
masyarakat Pekan khususnya, merasai khidmat yang akan terus saya semaikan.
Saya juga telah berjanji kepada diri sendiri untuk terus kuat dan tidak
mengalah dalam menegakkan kebenaran demi membela diri.
Saya akan terus berdiri terus melawan setiap percubaan membuli dan
menakutkan saya oleh mereka yang berkuasa supaya suatu hari nanti, sakan
menamatkan tradisi khianat mengkhianati yang telah menyusup menjangkiti
pembuluh darah UMNO dan membunuh setiap legasi khidmat dan perjuangan parti
yang diasaskan dahulu.
Jika mereka yang bersubahat ini telah lupa atau tidak sedar, saya ingatkan
semula mereka bahawa kesombongan UMNO tidak lama dahulu ditundukkan oleh
rakyat. Saya tidak tahu apa yang mereka sedang fikirkan tetapi untuk saya
sendiri dan kebanyakkan pemimpin akar umbi parti, kami sedar dan faham
bahawa kuasa sedar sudah lama dan akan sentiasa berada di tangan rakyat.
Saya akhiri coretan hari ini dengan pesanan terhadap pengkhianat-pengkhianat
ini: Jika kamu benar-benar percaya bahawa rancangan ini akan berjaya,
fikirlah bagaimana rakyat di luar sana, mereka yang telah mendengar ikrar
dan sumpah kita sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat, akan fikir tentang
apa yang sedang kamu lakukan.
Akhir sekali, izikan saya untuk mengingatkan semua bahawa parti keramat ini
bukanlah milik sesetengah individu atau puak mahupun mereka yang berjawatan.
Sebaliknya, ia milik jutaan ahli akar umbi yang tidak pernah penat berjuang
demi kelansungan parti dan menegakkan tujuan asal parti ini ditubuhkan.
Ingatlah, UMNO dahulu bukanlah UMNO yang dikenali sekarang. UMNO yang
ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat adalah kunci kekuatan kita dan
akan kekal selamanya seperti nadi yang menghembuskan nyawa kepada parti ini.
Dulu, Kini dan Selamanya.
Wabillahi taufiq wal hidayah.
– Najib Razak
Join our Telegram Channel