PUTRAJAYA: Peguam Najib Razak mendakwa kerajaan cuba untuk menakut-nakutkan
bekas perdana menteri itu dengan mengeluarkan notis muflis terhadapnya
kerana gagal melunaskan tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion.
Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan, pasukan perundangannya sudah
dimaklumkan mengenai penyerahan notis muflis itu minggu lalu.
“Secara kebetulan kami diberitahu mengenai hal ini, dua hari selepas
Perhimpunan Agung Umno, yang mana mereka mengeluarkan resolusi untuk
memutuskan hubungan dengan PPBM.
“Ini adalah penyalahgunaan proses dan intimidasi yang jelas. Sekiranya bukan
pihak berkuasa yang melakukannya, ia akan menjadi tindakan jenayah.
“Sangat jelas ada pihak tertentu berusaha menyingkirkannya daripada
pemilihan dan jawatan parti,” katanya, ketika menjawab notis yang difailkan
pada 4 Feb.
Kerajaan, melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan notis
muflis kepada Najib, kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak
RM1.69 bilion bagi tahun 2011 hingga 2017.
LHDN berkata, Najib perlu membayar tunggakan cukai berserta faedah tahunan
5%, berjumlah RM45.9 juta bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan
relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Shafee menambah, pasukannya akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan
notis muflis, dan menangguhkan prosiding muflis yang ingin dimulakan oleh
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kami turut memohon penangguhan terhadap perintah penghakiman terus
membabitkan cukai bernilai RM1.69 bilion,” katanya, sambil menambah Mahkamah
Tinggi akan mendengar permohonan untuk menangguhkan penghakiman terus pada
11 Jun.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengizinkan kerajaan untuk
meneruskan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali tunggakan cukai
tambahan daripada Najib.
LHDN berpendapat, penghakiman terus tidak ditangguhkan memandangkan mahkamah
memberikan keputusannya.
Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache, ketika membenarkan penghakiman terus itu
memutuskan, oleh kerana notis taksiran telah disampaikan kepada Najib
menurut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai yang harus dibayar
bawah taksiran tambahan tersebut wajib dibayar kepada LHDN.
Selain Najib, anak-anaknya Mohd Nazifuddin dan Mohd Nizar turut dilayangkan
penyata cukai daripada LHDN.
Mereka juga sedang membuat rayuan terhadap penghakiman terus yang diperoleh
LHDN. – FMT
Join our Telegram Channel