Isu rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular
menerusi media sosial tidak menjejaskan hubungan PAS dan UMNO serta parti lain
dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri
Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata isu itu lebih kepada hubungan antara individu dengan individu.
“Dalam parti, ada parti dan pemimpin parti, kadang-kadang hubungan individu
dengan indvidu tidak menjejaskan hubungan antara organisasi itu, kadang-kadang
antara pemimpin dia, tetapi parti itu masih lagi berjalan dengan baik, itulah
keadaan sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia
Prihatin di Sik hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada isu rakaman audio itu
akan menjejaskan hubungan PAS dan UMNO.
Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat itu antara lain memperdengarkan suara
mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO menerusi
panggilan telefon.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang) berkata isu audio itu wajar diserahkan kepada
pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, termasuk disiasat sekiranya ada
keperluan berbuat demikian.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata kerajaan tidak menghalang
mana-mana pihak untuk mempersembahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon agar
Parlimen dibenarkan bersidang semula.
“Malaysia ialah negara demokrasi, selagi tidak menyalahi undang-undang,
sesiapa sahaja bebas untuk berbuat demikian jika merasakan ia penting kepada
mereka,” katanya.
Semalam, Pakatan Harapan dilapor akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang
di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan baginda agar Parlimen dibenarkan
bersidang semula.
Join our Telegram Channel