Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat
dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan
waran tangkap dikeluarkan mahkamah.
Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan
berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Sumber memberitahu Harian Metro bahawa, Sajat kini sedang bersembunyi di
Thailand.
Ditanya bagaimana dia lolos ke negara jiran itu, sumber itu bagaimanapun tidak
mendedahkannya.
Menjadi persoalan sama ada Sajat menggunakan laluan tikus untuk keluar dari
Malaysia ke Thailand ataupun dia menggunakan pakej perlancongan yang
membenarkan pelancong asing memasuki negara berkenaan selain kunjungan
perniagaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi
mengesahkan bahawa Sajat kini sedang berada di negara jiran namun beliau tidak
menyatakan negara dimaksudkan.
"Ya dia kini berada di negara jiran. Cuma saya nasihatkan kepada dia pulang
dan pergilah ke mahkamah," katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah
berkongsi maklumat berkaitan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman,
36, atau Sajat yang didakwa berkemungkinan sudah berada di luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata,
bagaimanapun pihaknya tidak akan mendedahkannya kerana dikhuatiri mengganggu
siasatan.
Muhammad Sajjad mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik
video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran
tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jabatan
Agama Islam Negeri Selangor (Jais) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah
Syariah Negeri Selangor.
Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang
dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat,
pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat
Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.
Join our Telegram Channel