KEPUTUSAN sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU-15) kembali menjadi dilema bagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau mungkin akan
bertanding semula pada PRU-15 nanti sekiranya menerima banyak permintaan
daripada penyokong.
Bagaimanapun katanya, beliau berasa serba salah ketika ini untuk bertanding
semula kerana telah membuat keputusan tidak mahu bertanding lagi.
"Saya serba salah, saya tidak mahu bertanding tetapi orang asyik menekan saya.
Macam hari itu juga, saya tidak mahu bertanding tetapi orang menekan saya
supaya bertanding juga.
"Jadi jikalau dia tekan kuat sangat, mungkinlah. Jikalau tidak berapa kuat,
saya tidak bertandinglah. Jikalau orang datang berduyun-duyun di rumah, hari
itu pun macam itu juga," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa
dan Solat Tarawih di Masjid Al-Ehsan Temonyong di Langkawi, Jumaat.
Dr Mahathir berkata, ada beberapa rombongan datang bertemu dan meminta beliau
melakukan sesuatu selepas seminggu beliau meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak berhasrat
bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya dilaksanakan mengikut
tempoh penggal semasa memandangkan usianya telah mencecah 98 tahun ketika itu.
Pada awal Oktober, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh memberi gambaran
berkemungkinan bertanding PRU akan datang sekiranya penyokongnya tidak
bersetuju beliau bersara.
Join our Telegram Channel