Pusat tinjauan bebas Merdeka Center mendapati 67 peratus rakyat di Semenanjung
Malaysia menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan
menyifatkan penilaian itu sebagai stabil.
Tahap sokongan terhadap Muhyiddin yang dicatatkan oleh Merdeka Center adalah
74 peratus antara bulan Jun dan Julai tahun lalu. Tahap terendah dicatatkan
pula adalah 63 peratus pada bulan Januari lalu.
Sebilangan besar responden Melayu (83 peratus) menyokong Muhyiddin, berbanding
30 peratus responden Cina dan 66 peratus responden India.
Tinjauan Merdeka Center ini dilakukan antara 31 Mac dan 12 April. Ia
melibatkan 2,111 responden yang terdiri daripada 64 peratus orang Melayu, 28
peratus Cina dan 8 peratus India.
Tinjauan dilakukan melalui talian tetap dan telefon bimbit dengan responden
terpilih melalui pensampelan berstrata secara rawak untuk menggambarkan usia,
etnik, jantina dan kawasan pilihan raya. Kajian ini dibiayai oleh Merdeka
Center.
Sementara itu, majoriti responden (46 peratus) percaya bahawa negara ini
"menuju ke arah yang salah".
Antara keluhan utama adalah ketidakstabilan politik (27.3 peratus responden)
dan keadaan ekonomi yang tidak baik (15.5 peratus) dan pentadbiran kerajaan
yang buruk (7.9 peratus).
Majoriti responden Cina dan India percaya negara ini "menuju ke arah yang
salah" manakala majoriti responden Melayu (54 peratus) percaya sebaliknya.
Jumlah responden Melayu yang percaya bahawa negara berada di "arah yang betul"
menurun daripada 82 peratus pada Mei tahun lalu.
Responden yang merupakan kakitangan kerajaan / GLC, tinggal di pantai timur
dan golongan muda cenderung untuk percaya bahawa negara ini menuju ke arah
yang betul.
Sebanyak 23 peratus menyebut mengenai pentadbiran kerajaan yang baik, program
kebajikan (10.4 peratus) dan suasana aman damai (5.3 peratus).
Semua kumpulan etnik bersetuju bahawa ekonomi adalah masalah terbesar yang
dihadapi negara ini diikuti dengan penyebaran Covid-19.
Hanya 2.4 peratus responden menyebut politik sebagai masalah terbesar di
negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel