KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin
berkata, beliau bersetuju sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
"Saya amat mengalu-alukan sekiranya Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)
sertai PN," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan bekas Pengerusi
Bersatu itu bekerjasama dengan PN.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Srikandi Muda Leadership
Empowerment, di sini hari ini.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau
pernah menyuarakan cadangan agar PN menjalinkan kerjasama dengan Ahli Parlimen
Langkawi itu sebelum ini.
Media baru-baru ini melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah
Zainuddin berkata, gabungan itu sedia menerima mana-mana individu untuk menyertainya termasuk Dr Mahathir, namun perlu mengikut semua ketetapan
perlembagaan parti tanpa sebarang syarat.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)
sebelum ini mengulangi pendiriannya yang beliau sedia menimbang kerjasama
dengan mana-mana pihak termasuk PN hanya sekiranya tiada 'penyangak' dalam
parti berkenaan.
Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan di bawah
pihak berkuasa tempatan, Zuraida berkata, hingga hari ini, satu bazar di Pulau
Pinang dikompaun manakala tiga lagi bazar diarahkan tutup masing-masing di
Kedah, Terengganu dan Selangor, kerana gagal mematuhi SOP.
Katanya, memasuki hari ke-11 Ramadan, peniaga dan penganjur bazar kini semakin
berpengalaman dan teratur dalam pengurusan gerai mereka mengikut SOP yang
ditetapkan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel