1 akaun Whatsapp bakal boleh diakses 4 telefon



PENGGUNA WhatsApp biasanya hanya boleh menggunakan satu nombor untuk sebuah telefon sahaja, namun perkara itu bakal berubah dalam masa terdekat.

Ini kerana, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memaklumkan selepas ini pengguna boleh menggunakan satu akaun WhatsApp di empat telefon berbeza dalam masa sama.


Mark memberitahu ciri terbaharu ini sedang dalam peringkat pembinaan dan memerlukan sedikit waktu untuk disiapkan sebelum ia boleh diakses pengguna.

Antara cabarannya adalah halangan dari segi menghubungkan mesej diterima di semua peranti yang dihubungkan.

Malah katanya, selepas ini ia bukan sahaja boleh dihubungkan menerusi telefon tetapi komputer riba, tablet dan komputer.


Selain itu ia mengambil masa bagi menyesuaikan sistemnya dengan pengguna telefon Android, iOS dan desktop.

Menariknya, ciri terbaharu ini nanti pengguna masih boleh menggunakan WhatsApp di telefon utama tanpa perlu menghubungkan dengan internet.

Sementara itu, Mark memberitahu pihaknya masih belum memutuskan bila ciri terbaharu itu akan dirasmikan namun berharap ia dapat dilancarkan sebelum penghujung tahun ini. – Mstar

 

Join our Telegram Channel
Telegram