Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah
sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan
secepat mungkin.
Pandangan Seri Paduka itu disampaikan ketika menerima menghadap Yang di-Pertua
Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun di Istana Negara
hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan
yang disiarkan di Facebook Istana Negara berkata, pertemuan sejam itu adalah
lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan pada
16 Jun lalu.
“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan
secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard
Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.
“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang
telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam
Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Baginda turut berpandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen ke-14
hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang
bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab,
khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal
kewangan dan perbelanjaan negara.
“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang
dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha
Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan
berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan
undang-undangnya,” kata kenyataan itu lagi.
Turut hadir dalam pertemuan yang bermula jam 11 pagi itu ialah Timbalan Yang
di-Pertua Dewan Negara Senator Mohamad Ali Mohamad kedua-dua Timbalan Yang
di-Pertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dan Azalina Othman Said.
Selain itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas
komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan secepat
mungkin, serta menyeru rakyat untuk mendoakan kesejahteraan negara dan agar
wabak Covid-19 dapat dibendung segera.
Sementara itu, Bernama memetik Rashid sebagai berkata sesi pertemuan kira-kira
satu jam itu membincangkan pembukaan parlimen seperti titah Seri Paduka
sebelum ini.
“Insya-Allah, apa yang dititahkan (Seri Paduka) dalam ruang lingkup melalui
nasihat perdana menteri untuk kita membuka parlimen.
“Kita jumpa nanti. Insya-Allah sama ada secara biasa atau hibrid,” katanya
kepada pemberita setelah selesai sesi menghadap itu.
Pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu,
Agong bertitah agar Parlimen bersidang “secepat mungkin”.
Rais dan Azhar mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun bahawa Parlimen sedang
mengkaji persidangan secara hibrid, dan memerlukan masa untuk membuat
persediaan.
Dijangka, parlimen secara hibrid dapat mula bersidang pada akhir Ogos atau
selewat-lewatnya awal September depan.
Sehari kemudian, kedua-dua mereka dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan
Agong dalam pertemuan yang berlangsung tadi.
Join our Telegram Channel