GEORGE TOWN – Cahaya api yang dilihat jiran daripada sebuah unit kondominium
di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor di sini membongkar kegiatan seorang
lelaki dipercayai melakukan pemujaan awal pagi Selasa lalu.
Difahamkan jiran berkenaan yang pada awalnya menyangka ia kejadian kebakaran
segera menghubungi bomba kira-kira pukul 1.55 pagi.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pasukan dari Balai
Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian selepas
dimaklumkan berhubung kehadiran cahaya seperti kebakaran di tingkat 31
tersebut.
Beliau berkata, apabila pasukan bomba tiba, pihaknya mendapati tiada
sebarang kebakaran yang berlaku.
“Pemeriksaan bersama polis di sebuah unit mendapati ada bau asap dari rumah
tersebut dan kita membuka pintu dengan peralatan khas menyelamat.
“Sebaik pintu dibuka, terdapat seorang lelaki berumur 23 tahun disyaki
sedang melakukan aktiviti pemujaan dan tiada sebarang kebakaran,” katanya
ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.
Difahamkan pada operasi itu, pihak berkuasa menemui pelbagai peralatan bagi
aktiviti pemujaan seperti patung dan lilin serta beberapa gambar pasangan
dipercayai bagi ritual berkenaan.
Sementara itu, insiden itu tular di media sosial hari ini selepas video
dipercayai dirakam dari unit berdekatan yang memaparkan tindakan seorang
lelaki seolah-olah sedang melakukan upacara pemujaan dalam cahaya api
dikongsi pengguna. – Kosmo
Join our Telegram Channel