Hilang keyakinan terhadap Zahid? Mana ada, Bung jawab Nazri



KOTA KINABALU: Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin menolak dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz bahawa majoriti Ahli Parlimen BN telah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam gabungan itu.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mendakwa beliau tidak tahu Nazri adalah “mastermind” di sebalik pelbagai akuan berkanun (SD) yang menyokong supaya Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein mewakili gabungan berkenaan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak nampak majoriti (Ahli Parlimen BN) hilang keyakinan (terhadap Zahid) kerana saya pun Ahli Parlimen,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ketua Bahagian Umno itu kepada FMT.

“Saya tidak pernah hilang keyakinan dengan perjuangan parti atau kepemimpinannya kerana saya menghormati institusi parti ini.”


Bung berkata, beliau percaya kenyataan Nazri itu “sekadar pandangan peribadinya,” tetapi menegaskan setiap ahli tanpa mengira pangkat dan kedudukan, mesti menghormati apa diputuskan dalam pemilihan parti sebelum ini.

“Sebagai Ahli Parlimen dan anggota parti, kita patut menghormati institusi parti. Bukannya tak boleh hilang keyakinan terhadap presiden tetapi tidak patut menghentam secara terbuka.

“Ini kerana presiden dilantik ahli Umno dan satu-satunya cara untuk menggantikannya adalah menerusi pemilihan parti.

“Perkara seperti ini tidak akan bangkit kalau kita setia kepada parti, jadi saya menggesa semua ahli Umno menghormati institusi parti ini. Kesetiaan mesti wujud dalam jiwa setiap ahli.”


Dalam temu bual dengan Sinar Harian, Nazri mendakwa 25 daripada 41 Ahli Parlimen BN telah menandatangani SD menyokong supaya Hishammuddin mewakili mereka sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Umno itu mendakwa dirinya “mastermind” di sebalik mengumpulkan SD dua minggu lalu selepas mengetahui Yang di-Pertuan Agong akan menemui pemimpin parti politik sekali lagi.

Nazri menjelaskan, SD berkenaan bukan untuk menyokong Hishammuddin bagi memegang jawatan perdana menteri seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya untuk menyampaikan pendirian Ahli Parlimen BN berhubung kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, kepada Agong.

Disoal sama ada beliau antara 25 individu terlibat, Bung menjawab: “Bagaimana pula sedangkan saya tidak tahu pun mengenai SD itu.” – FMT 




Join our Telegram Channel
Telegram