Jadi ejen dadah selepas hilang kerja



MELAKA – Sindiket pengedaran dadah kini semakin ligat meluaskan perniagaan haram mereka apabila menjadikan individu-individu yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 sebagai mangsa untuk dijadikan ejen.

Tidak cukup dengan itu, sindiket ini turut menawarkan upah lumayan kepada ejen-ejen berkenaan iaitu bayaran seba­nyak RM2,000 bagi setiap satu kilogram dadah yang diedar.

Taktik terbaharu itu mula dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu yang menyaksikan ramai pekerja kehilangan punca pendapatan.

Terbaharu, polis Melaka berjaya membongkar kegiatan licik sindiket dikenali Geng Hafiz Padang Temu yang dipercayai merekrut pengedar untuk dijadikan ejen dadah termasuk dalam kalangan mereka yang telah kehilangan kerja.


Kejayaan itu hadir selepas polis menahan lima lelaki termasuk dalang sindiket dikenali Hafiz dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 44 tahun diberkas di sebuah rumah teres di Kota Wa­risan, Sepang, Selangor dan di unit kondominium di Desa Park City, Kuala Lumpur.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan suspek yang menggunakan ejen-ejen ini untuk mengedar dadah di sekitar Melaka.

“Hasil siasatan kita, mereka yang direkrut ini termasuklah individu yang sebelum ini telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

“Pada Sabtu lalu kira-kira pukul 4 petang, polis telah men­yerbu sebuah rumah di Kota Warisan dan menahan empat lelaki termasuk dalang sindiket berusia 29 tahun.


“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam sindiket mengedar dan merekrut pengedar dadah di Melaka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, susulan penahanan empat suspek di Kota Warisan, pihaknya telah melakukan serbuan di sebuah unit kondomi­nium di Desa Park City, Kuala Lumpur pada pukul 5.45 pagi, Ahad lalu dan berjaya memberkas seorang lagi ahli kumpulan berusia 44 tahun.

Difahamkan, sindiket yang aktif sejak setahun lalu itu telah merekrut seramai 10 orang ejen baharu dengan setiap ejen dijan­jikan upah lumayan sehingga RM2,000 bagi setiap kilogram dadah yang diedar.

Kegiatan itu dipercayai terbongkar susulan penahanan seorang ejen dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Ayer Keroh pada Rabu lalu.

Menurut Zulkiflee, Geng Hafiz Padang Temu ini berasal dari Melaka dan turut aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang selain membekalkan bahan terlarang itu kepada ejen-ejen yang dilantik.


“Dalam kedua-dua serbuan, kita telah merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, kereta Volkswagen Golf, wang tunai RM4,890, pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan RM302,630 yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan tersebut.

“Pada pukul 7.21 malam kelmarin, kita telah pergi ke rumah ibu mertua Hafiz yang turut didia­mi isterinya di Tanjung Kling dan menyita sebuah kereta, motosikal serta barang kemas bernilai RM38,308,” katanya.

Jelasnya, modus operandi geng tersebut adalah dengan ke­rap bertukar lokasi rumah sewaan termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor bagi mengaburi pihak berkuasa.

Zulkiflee berkata, saringan ujian air kencing mendapati, ke­semua suspek positif methamphetamine dan mempunyai 10 hingga 14 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Ujarnya, suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram