KWSP: Boleh keluar i-Citra sehingga RM5000



Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.

Katanya, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5 ribu dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.


"Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik Covid-19.

"Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini," katanya semasa mengumumkan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion tadi, termasuk suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.


Menurutnya, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.


Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

Namun, dia menekan bahawa kerajaan sedar pengeluaran KWSP merupakan keputusan sukar.

"Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran," katanya. – Mkini



 

Join our Telegram Channel
Telegram