Mazlan Lazim bakal Timbalan Ketua Polis Negara?



Nama Dato’ Sri Mazlan Lazim kini antara disebut-sebut sebagai bakal Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Negara sekarang.

Ketokohan Dato’ Sri Mazlan Lazim sebagai pemimpin di dalam pasukan PDRM terbukti apabila mendapat kepercayaan pucuk pimpinan menerajui jawatan-jawatan penting di dalam PDRM.

Ia terserlah apabila beliau bukan sahaja dilantik sebagai Ketua di Peringkat Jabatan, malah pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Negeri sebelum seterusnya melebarkan sayap kecemerlangan di dalam kerjaya setelah menjadi antara barisan tertinggi di dalam kepimpinan PDRM apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik.
 
Beliau yang terkenal dengan sikap tegas tetapi sentiasa mengambil berat terhadap pegawai dan anggota polis di bawahnya terutama dalam perkara-perkara melibatkan kebajikan, menjadikan pendekatan ‘command and control’ di dalam pentadbiran beliau amat berjaya.

Halatuju beliau diperturunkan di peringkat pelaksana sangat tegas dan jelas sejajar dengan kehendak pucuk pimpinan dan masyarakat khususnya.
 
Dato’ Sri Mazlan Lazim memikul tanggungjawab penuh cabaran sepanjang menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur. Bandaraya ibu kota Malaysia yang menjadi tumpuan sudah semestinya memberikan seribu satu cabaran terutama dalam menangani peningkatan kadar jenayah serta pengawalan dan pembanterasan sindiket / kumpulan penjenayah.

 
Dato’ Sri Mazlan Lazim jelas menunjukkan kewibawaan beliau apabila dengan lantangnya menyatakan tidak akan berkompromi terutama dengan sindiket-sindiket judi di Kuala Lumpur.

Beliau mengisytiharkan bahawa Kuala Lumpur akan bersih daripada mesin-mesin judi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota beliau yang didapati ‘memberi muka’ kepada kumpulan-kumpulan ini.

Jelas dilihat, sepanjang beliau berada di Kuala Lumpur, operasi khas terhadap perjudian tidak pernah lekang dilaksanakan di setiap peringkat sehingga mereka tiada berpeluang untuk menapak lama di Kuala Lumpur, terpaksa keluar dari Kuala Lumpur dan kini Kuala Lumpur dikatakan ‘kosong’ mesin judi.

Sindiket Addy Kanna yang dikatakan antara sindiket perjudian terbesar di Malaysia juga sebenarnya mengalami kesukaran dan tidak berjaya masuk ke Kuala Lumpur sepanjang Dato’ Sri Mazlan Lazim menjadi Ketua Polis.

Sungguhpun terdapat beberapa pegawai dan anggota dari negeri tersebut disiasat oleh SPRM dengan pendedahan dalam penglibatan masing-masing, Dato’ Sri Mazlan Lazim disahkan tidak terlibat dan tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan yang disebarkan menyatakan beliau terlibat.
 
Selain tegas dalam membanteras sindiket perjudian, Dato’ Sri Mazlan Lazim juga tegas dalam menangani aktiviti gengsterisme di Kuala Lumpur.

Ramai ahli kumpulan gangster yang telah diambil tindakan di bawah SOSMA sepanjang beliau menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur.

Masyarakat sendiri dapat menilat, tiada insiden buruk dan serius yang berlaku di Kuala Lumpur melibatkan kumpulan-kumpulan gangster sepertimana yang berlaku di negeri-negeri lain.


Sekiranya insiden kecil seperti pergaduhan berlaku, Dato’ Sri Mazlan dengan tegas mengarahkan pegawai nya dengan segera mengambil tindakan tangkapan, mendakwa dan kemudian tindakan pencegahan dan tindakan susulan dilakukan bagi memastikan tiada unsur-unsur ‘gangster’ berjaya menyerap masuk ke dalam masyarakat di Kuala Lumpur.
 
Selain isu judi dan gangster dapat dicegah dengan berkesan di Kuala Lumpur, Dato’ Sri Mazlan Lazim tidak meminggirkan masalah jenayah ragut dan samun jalanan yang memberi impak besar kepada masyarakat dan pelancong yang menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai lokasi tumpuan mereka.

Sepanjang perkhidmatan beliau di Kuala Lumpur, banyak operasi khas terhadap jenayah ragut dan samun jalanan telah dilancarkan dan membawa kejayaan dalam menurunkan kadar jenayah tersebut.

Beliau banyak melancarkan program dengan objektif “Keep KL Safe” dengan NGO dan sangat aktif turun padang bertemu masyarakat tanpa mengira masa bagi memastikan hubungan polis dan masyarakat berjalan dengan lancar terutama dalam isu pencegahan jenayah dan penyaluran maklumat.

Dengan usaha beliau, polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan kadar jenayah dan kejadian jenayah ragut, samun jalanan dan lain-lain jenayah berjaya dibendung dengan berkesan.
 
Jelas, Dato’ Sri Mazlan Lazim bertindak melaksanakan tugas dengan niat untuk memastikan kehendak stakeholder beliau iaitu pucuk pimpinan dan masyarakat dapat dipenuhi dengan berkesan. Walaupun terdapat pihak yang tidak senang dengan sikap beliau yang lantang dan tegas itu, tiada apa yang membuat beliau goyang kerana beliau yakin niatnya untuk kepentingan dan kebaikan semua pihak.
 
Dengan usaha dan sumbangan Dato’ Sri Mazlan Lazim kepada pasukan, ditambah dengan karisma dan personalitinya, beliau telah diiktiraf sendiri oleh bekas Ketua Polis Negara sebelum ini dengan dilantik sebagai Pengarah Logistik PDRM. – SuaraTV



Join our Telegram Channel
Telegram